Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Alibaba Lancar Cip AI Zhenwu M890, Dakwa Setanding Cip Nvidia H20

Alibaba Lancar Cip AI Zhenwu M890, Dakwa Setanding Cip Nvidia H20

Diterbitkan Mei 21, 2026 oleh ariff bukhari

Gergasi teknologi Alibaba pada Rabu melancarkan cip kecerdasan buatan (AI) baharu yang didakwa mempunyai prestasi tiga kali ganda lebih tinggi berbanding model terdahulu, sekali gus menyerlahkan peningkatan keupayaan pengeluar cip tempatan China ketika syarikat Amerika Syarikat, Nvidia, terus berdepan halangan memasuki pasaran negara itu.

Semikonduktor kini menjadi pusat persaingan sengit antara Amerika Syarikat dan China dalam perebutan dominasi AI, dengan cip paling canggih Nvidia dilarang dijual ke China oleh Washington atas alasan keselamatan negara.

Sebagai tindak balas, Beijing memperhebat usaha meningkatkan kebergantungan domestik dengan menyalurkan sumber besar kepada industri tempatan serta dilaporkan mengehadkan pembelian cip Nvidia oleh syarikat China.

Alibaba berkata cip baharunya, Zhenwu M890, mampu menawarkan prestasi tiga kali lebih baik berbanding Zhenwu 810E, yang dipercayai setanding dengan kemampuan cip Nvidia H20.

H20 merupakan versi kurang berkuasa cip pemprosesan AI Nvidia yang direka khusus untuk eksport ke China.

Pilihan lebih berprestasi tinggi, H200, pula telah mendapat lesen eksport dari pihak Amerika Syarikat, namun aksesnya ke pasaran China dilihat masih tertangguh.

Pengasas laman teknologi China, eetrend.com, Zhang Guobin menyifatkan masa pelancaran cip Alibaba sebagai “amat tepat”.

“Ia berlaku ketika prospek kemasukan H200 ke pasaran China sangat tidak menentu dan perniagaan Nvidia di China hampir terhenti sepenuhnya,” katanya kepada AFP.

Ketua Nvidia, Jensen Huang, yang menyertai delegasi perniagaan Amerika Syarikat ke Beijing bersama Presiden Donald Trump minggu lalu, berkata beliau tidak membincangkan H200 secara langsung, namun menegaskan kerajaan China perlu menentukan sejauh mana pasaran tempatan mahu dilindungi.

Menurut Zhang, Zhenwu M890 menyediakan pilihan lebih stabil yang tidak terjejas oleh turun naik kawalan eksport dan membolehkan syarikat AI tempatan merancang pembangunan teknologi jangka panjang.

“Sekurang-kurangnya, ia membuktikan bahawa dalam bidang kuasa pengkomputeran AI berprestasi tinggi, China kini mempunyai ‘Pelan B’ yang tidak bergantung kepada Nvidia,” katanya.

Bagaimanapun, dari segi prestasi keseluruhan, Nvidia masih mengekalkan kelebihan.

Malah, H200 sendiri jauh kurang berkuasa berbanding cip termaju Nvidia iaitu siri Blackwell dan pemproses Rubin yang bakal diperkenalkan.

Alibaba memaklumkan lebih 560,000 cip siri Zhenwu telah dihantar kepada lebih 400 pelanggan termasuk pengeluar automotif dan institusi kewangan.

Gergasi teknologi berpangkalan di Hangzhou itu yang mengendalikan beberapa platform e-dagang terbesar China turut mempercepat peralihan ke arah AI sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Keluarga model AI sumber terbuka Qwen miliknya kini popular dalam kalangan pembangun, dengan jumlah muat turun terkumpul melebihi satu bilion sejak dilancarkan pada 2023. – AFP.

Berkaitan

  • Direka untuk Esports, iQOO 15R Janjikan Pengalaman Gaming Mengujakan
  • DRAM China Jadi Harapan Baharu Selesaikan Krisis Harga
  • Siri Snapdragon X2 Dilancar, Sokongan Aplikasi Lebih Luas, Bateri Tahan Sehingga 29 Jam

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Siri HUAWEI WATCH 6 Rasmi, Harga Bermula RM1,799
  • Inovasi Pelajar MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi Dinobatkan Sebagai Juara Junior Innovathon 2026
  • Portal Sekolahku Himpunkan Maklumat Sekolah Seluruh Negara Dalam Satu Platform
  • Guna AI Cari Kelemahan PS5, Penggodam Terima AS$50,000 Daripada Sony
  • Mini PC ROG Dengan RTX 5090 Ini Boleh Anda Milikinya Pada Harga RM38,759
  • Navigasi TuJu Belum Pulih, Kini Arahkan Pengguna Android Ke Google Maps
  • China Berjaya Sambungkan 'Power Bank' Karbon Dioksida Mampat Ke Grid Elektrik
  • Kekurangan RAM Dijangka Berlarutan Hingga 2030, Harga Peranti Mungkin Kekal Tinggi
©2026 WISER.MY