Aisberg terbesar dunia, A23a, kini dilaporkan “pecah dengan cepat” menjadi beberapa ketulan besar.
Aisberg ini yang asalnya seberat hampir satu trilion tan metrik dengan keluasan 3,672 km² (lebih besar daripada Rhode Island), kini hanya tinggal sekitar 1,700 km² atau hampir menyamai saiz Greater London sahaja.
A23a terpisah dari ais Filchner-Ronne di Antartika pada 1986 dan terdampar di Laut Weddell selama lebih 30 tahun sebelum hanyut semula pada 2020.
Tahun ini, ia beberapa kali tersangkut dan terlepas, sebelum akhirnya mengikuti arus kuat Southern Antarctic Circumpolar Current Front (SACCF) yang kini membawanya ke sekitar South Georgia.
Menurut Andrew Meijers dari British Antarctic Survey (BAS), A23a sedang melalui nasib sama seperti aisberg gergasi lain seperti A68 (2021) dan A76 (2023), yang juga berpecah di kawasan tersebut.

Pecahan A23a dijangka terus berlaku dalam minggu-minggu mendatang yang dipercepat oleh suhu air lebih panas dan musim bunga di bahagian hemisfera selatan, sehingga akhirnya menjadi serpihan kecil yang sukar dikesan.
Walaupun fenomena ini sebahagian daripada proses semula jadi, saintis menegaskan kehilangan trilion tan ais daripada ais Antartika sejak beberapa dekad lalu banyak dipacu oleh pemanasan global dan perubahan arus laut, yang meningkatkan risiko kenaikan paras laut mendadak.
BAS turut memberi amaran bahawa pelepasan air tawar sejuk dalam jumlah besar boleh memberi kesan besar kepada ekosistem laut di sekitar South Georgia.
{suggest}