Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

AI ‘Sapu Bersih’ Cip Noktahkan Era Memori Murah

Posted on Januari 9, 2026

Ketika peranti daripada mainan hinggalah ke kereta menjadi semakin pintar di Consumer Electronics Show (CES), pengeluar gajet berdepan kekurangan cip memori dan storan yang penting untuk memastikan peranti berfungsi dengan baik.

Bekalan yang semakin menyusut serta kos Dynamic Random Access Memory (DRAM) yang melonjak — memori yang menyediakan ruang kepada komputer, telefon pintar dan konsol permainan untuk menjalankan aplikasi atau melakukan pelbagai tugas — menjadi topik hangat di sebalik tabir pameran teknologi tahunan di Las Vegas.

Sebelum ini murah dan mudah diperoleh, DRAM — bersama cip memori untuk penyimpanan data — kini kekurangan bekalan apabila permintaan melonjak akibat penggunaan AI dalam pelbagai bidang, daripada pusat data hinggalah peranti boleh pakai.

“Semua orang menjerit mahukan lebih bekalan… tetapi mereka tidak dapat mencarinya,” kata Sangyeun Cho, yang bertanggungjawab ke atas perniagaan semikonduktor Samsung Electronics di Amerika Syarikat, kepada AFP.

“Dan permintaan AI masih terus meningkat.”

Pengeluar DRAM dan cip memori telah mengalihkan kapasiti pembuatan mereka bagi memenuhi keperluan pusat data AI. Pada masa sama, ciri AI yang ditambah ke dalam pelbagai produk turut meningkatkan keperluan memori dalam peranti seperti komputer riba dan cincin pintar.

Menurut firma penyelidikan pasaran IDC, ekosistem semikonduktor global kini berdepan kekurangan cip memori yang belum pernah berlaku sebelum ini dan dijangka berlarutan hingga tahun depan.

“Apa yang bermula sebagai ledakan infrastruktur AI kini merebak ke luar, menyebabkan bekalan memori semakin ketat, harga meningkat, serta mengubah strategi produk dan harga bagi peranti pengguna dan perusahaan,” kata penganalisis IDC dalam catatan blog.

“Bagi pengguna dan perniagaan, ini menandakan berakhirnya era memori dan storan yang murah serta berlimpah.”

Kos komputer, pemacu storan dan kad memori sudah pun meningkat, kata pengasas dan ketua O’Connor’s Other World Computing, Larry O’Connor.

‘Hidu, bukan menyalak’

Pengeluar gajet kini menyesuaikan diri dengan kekurangan ini sama ada dengan membayar harga premium untuk DRAM dan memori, mereka bentuk semula produk, atau menggugurkan beberapa ciri, menurut Michal Siwinski dari Arteris.

“Mungkin anjing robot yang anda beli boleh menghidu dan berguling, tetapi ia tidak akan menyalak atau menyanyi kerana memori tidak mencukupi,” katanya.

Kekurangan ini turut memaksa kecekapan baharu, termasuk jurutera menulis kod yang lebih padat untuk prestasi sama dengan penggunaan memori lebih rendah, menurut O’Connor.

“Ini bukan perkara buruk; sepatutnya sudah lama dilakukan,” katanya.

“Seluruh industri dibina berasaskan perisian murah yang menjadi terlalu ‘berat’ sejak 20 tahun lalu.”

Namun, pengeluar perlu berhati-hati agar produk tidak berprestasi rendah akibat kompromi memori, atau harga melonjak terlalu tinggi kerana kos komponen, kata penganalisis Techsponential, Avi Greengart.

“Di CES, kita masih mendengar dakwaan biasa bahawa produk mereka paling hebat tanpa mengira kos RAM,” katanya.

“Tetapi jika berbincang secara tertutup dengan pembuat peranti, peruncit dan pengeluar komponen, ceritanya sangat berbeza.”

Menurut Greengart, pengubahsuaian akan dibuat bagi memastikan harga kekal selari dengan jangkaan pengguna.

Kekurangan cip AI seterusnya?

Kekurangan cip memori ini turut diperhatikan dengan penuh waspada oleh sektor lain, khususnya syarikat yang bergantung kepada semikonduktor untuk menggerakkan AI.

Walaupun cip berkuasa dan komponen analog “tiada kaitan langsung” dengan DRAM, syarikat tetap berwaspada terhadap kesan rantaian, kata Ketua Pegawai Eksekutif Infineon Technologies, Jochen Hanebeck.

“Pelanggan bertanya mengenai kapasiti, dan mereka telah belajar daripada isu DRAM, sebab itu mereka sangat berhati-hati,” katanya.

“Ada kemungkinan berlakunya kekurangan; ia cabaran sebenar untuk mengurus rantaian bekalan.”

– AFP.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress