Sebiji batu kapur putih licin dari era Rom yang ditemui di Belanda sekian lama membingungkan para penyelidik.
Kini dengan bantuan kecerdasan buatan, saintis percaya mereka berjaya merungkai misteri tersebut di mana batu itu sebenarnya adalah papan permainan purba dan mereka turut berjaya mengagak peraturannya.
Kepingan batu berbentuk bulat itu mempunyai garisan serong dan lurus yang diukir pada permukaannya.
Menggunakan pengimejan 3D, saintis mendapati sebahagian garisan lebih dalam berbanding yang lain, menunjukkan bahawa buah permainan mungkin sering digerakkan di sepanjang garisan tertentu.
“Kami dapat melihat kesan haus pada garisan batu, tepat di kawasan di mana buah permainan mungkin digelongsorkan,” kata Walter Crist, ahli arkeologi dari Universiti Leiden yang pakar dalam permainan purba.
Penyelidik lain dari Universiti Maastricht kemudian menggunakan program kecerdasan buatan yang mampu merumuskan peraturan permainan kuno.

AI yang dinamakan Ludii itu dilatih menggunakan kira-kira 100 set peraturan permainan purba dari kawasan yang sama dengan penemuan batu tersebut.
Komputer berkenaan menghasilkan puluhan kemungkinan set peraturan dan kemudian memainkan permainan itu melawan dirinya sendiri bagi mengenal pasti variasi yang menyeronokkan untuk manusia.
Seterusnya, para penyelidik membandingkan kemungkinan peraturan tersebut dengan kesan haus pada batu bagi menentukan set pergerakan yang paling munasabah.
Walau bagaimanapun, Dennis Soemers dari Universiti Maastricht mengingatkan bahawa AI akan sentiasa mampu mencadangkan peraturan jika diberikan corak garisan seperti itu. Oleh itu, mereka tidak dapat memastikan sepenuhnya sama ada orang Rom benar-benar bermain permainan itu dengan cara yang sama.
Matlamat permainan strategi yang ringkas tetapi mencabar ini dipercayai adalah untuk memburu dan memerangkap buah lawan dalam jumlah pergerakan paling sedikit.
Hasil kajian dan cadangan peraturan permainan ini telah diterbitkan dalam jurnal Antiquity. – AFP
