Tidak pasti sama ada anda perasan atau tidak, baru-baru ini ada satu video tular yang memaparkan dua ejen AI bercakap melalui telefon, dan tiba-tiba salah satu daripada mereka mencadangkan untuk bertukar kepada “Gibberlink Mode” supaya komunikasi jadi lebih efisien. Kemudian, percakapan mereka bertukar jadi siri bunyi pelik—macam beep-beep yang manusia tak faham—sambil terjemahan dalam bahasa Inggeris muncul di skrin.
Oleh itu, ada yang membuat spekulasi bahawa itu adalah “bahasa rahsia AI” di mana suatu hari nanti manusia tidak memahami apa yang dipertuturkan AI. Namun, sebenarnya anda tidak perlu risau.
Apa itu ‘Gibberlink Mode’?
Gibberlink Mode adalah satu cara baharu untuk ejen AI berkomunikasi sesama sendiri dengan lebih pantas dan efisien berbanding guna bahasa manusia biasa.
Ia dicipta oleh Boris Starkov dan Anton Pidkuiko dari ElevenLabs semasa hackathon di London pada 22-23 Februari 2025. Malah, projek tersebut juga memenangi anugerah semasa Hackathon London itu.
Nama “Gibberlink” mungkin bunyi macam pelik, tapi ia merujuk kepada idea “gibberish” (bunyi yang nampak tak bermakna kepada manusia) yang sebenarnya jadi “link” atau saluran komunikasi berkelajuan tinggi antara AI.
Bagaimana ia berfungsi?
Gibberlink Mode menggunakan teknologi yang dipanggil “ggwave”, iaitu sistem penghantaran data melalui gelombang bunyi. Bayangkan macam bunyi modem dial-up zaman 90-an—beep-beep yang kedengaran pelik tu sebenarnya adalah data yang dihantar dalam bentuk audio.
Dalam kes ini, AI mengekod maklumat jadi siri bunyi frekuensi tinggi yang boleh dihantar melalui medium biasa seperti telefon atau mikrofon.
Apabila dua AI berbual dan sedar mereka sama-sama mesin, salah satu akan cadangkan, “Hey, kita tukar ke Gibberlink Mode je lah.”
Selepas itu, mereka berhenti menggunakan ayat penuh dalam bahasa manusia dan mula “bercakap” dalam siri bunyi pendek—contohnya, “beep-boop-beep”—yang membawa data dalam format termampat.
Menurut penciptanya, mod ini boleh buat komunikasi 80% lebih cepat berbanding bahasa biasa. Sebabnya, AI tak perlu proses perkataan demi perkataan atau ikut struktur bahasa yang kompleks—mereka terus hantar data mentah dalam bentuk yang paling ringkas.
Berbalik kepada video tersebut, skrin tunjuk terjemahan dalam bahasa Inggeris, macam tugasan diberikan atau data disegerakkan, untuk manusia faham apa yang dihantar. Bunyi itu pendek, tapi kandungan maklumatnya banyak—mirip zip file berbanding tulis surat panjang.
Apa kelebihan mod ini?
Bahasa manusia lambat sebab ia ada banyak lewah. ‘Gibberlink Mode’ buang semua tu dan hantar intipati sahaja.
Ia boleh digunakan dalam apa jua saluran audio—telefon, pembesar suara, atau bahkan mikrofon biasa—tanpa perlu sambungan internet khas.
Kodnya ada di GitHub, jadi sesiapa yang nak mengkaji atau menggunakan teknologi ini boleh akses percuma. Ia secara tidak langsung membuka peluang untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan lanjut.
Kesimpulan
Adakah kita patut risau?
Seperti yang saya nyatakan di awal tadi, kita tidak perlu risau. Buat masa sekarang mod tersebut hanyalah dilakukan semasa Hackathon London itu. Ini kerana ia adalah idea yang dijangka boleh memanfaatkan teknologi masa depan.
Penciptanya mengatakan protokol ini jauh lebih murah. Ia tidak memerlukan GPU untuk mensintesis atau mengenali pertuturan serta menjejak jeda dan gangguan dalam dialog – hanya pemproses CPU biasa sudah mencukupi untuk mengendalikannya.
Selain itu, ia lebih pantas dan kurang terdedah kepada ralat berbanding pertuturan dalam bahasa Inggeris.
Tambahnya lagi, ‘Gibberlink Mode’ mungkin jadi standard untuk komunikasi AI-AI, terutama dalam sistem besar seperti logistik, Internet benda (IoT), atau pelayan yang perlu bertukar data cepat.
Bayangkan beratus AI dalam satu kilang koordinasi tugas dalam milisaat tanpa manusia kena campur—itu visi mereka.
{suggest}