Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY
TikTok, AFP

Ahli Parlimen Perancis Gesa Larangan Media Sosial Untuk Bawah 15 Tahun

Posted on September 11, 2025

Kanak-kanak bawah 15 tahun di Perancis dicadangkan dilarang sama sekali menggunakan media sosial, manakala remaja berumur 15 hingga 18 tahun dikenakan “perintah berkurung digital” pada waktu malam, menurut gesaan sebuah jawatankuasa parlimen pada Khamis.

Cadangan ini dikemukakan dalam laporan selepas beberapa bulan mendengar keterangan daripada keluarga, eksekutif media sosial, dan pempengaruh.

Pejabat Presiden Emmanuel Macron sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk menguatkuasakan larangan tersebut, selaras dengan langkah Australia yang mula merangka undang-undang melarang penggunaan media sosial untuk bawah 16 tahun.

Ketua jawatankuasa, Arthur Delaporte, juga berkata beliau akan memfailkan aduan jenayah terhadap platform video pendek TikTok kerana “membahayakan nyawa” pengguna.

Jawatankuasa itu ditubuhkan pada Mac lalu untuk meneliti kesan psikologi TikTok terhadap golongan muda, susulan saman pada 2024 oleh tujuh keluarga yang menuduh aplikasi tersebut mendedahkan anak-anak mereka kepada kandungan yang mendorong ke arah bunuh diri.

Penulis utama laporan, Laure Miller, menyatakan reka bentuk ketagihan TikTok dan algoritmanya “telah ditiru oleh media sosial lain”.

TikTok pula menegaskan keselamatan pengguna muda adalah “keutamaan utama”, namun Delaporte menuduh platform itu sedar akan masalah algoritmanya tetapi tetap “bersubahat” membahayakan pengguna.

Seorang ibu bernama Geraldine, yang kehilangan anak perempuannya berusia 18 tahun akibat bunuh diri, berkata selepas kematian anaknya beliau menemui video melukakan diri yang dimuat naik serta ditonton anaknya di TikTok.

Beliau menuduh platform itu gagal dalam penguatkuasaan moderasi kandungan sehingga mendorong anaknya semakin terjerumus.

Eksekutif TikTok memberitahu jawatankuasa bahawa sistem moderasi berasaskan AI berjaya mengesan 98% kandungan melanggar peraturan di Perancis tahun lalu.

Namun ahli parlimen menilai usaha itu masih tidak mencukupi, mudah dielakkan, dan algoritma TikTok terus memperbanyak kandungan berbahaya dengan mendorong pengguna muda menontonnya berulang kali.

Aduan jenayah yang difailkan Delaporte turut menuduh eksekutif TikTok, Marlene Masure, berbohong kepada jawatankuasa mengenai kesan buruk aplikasi itu berdasarkan dokumen dalaman yang bocor ke media AS dan Perancis.

Laporan jawatankuasa mencadangkan larangan penuh media sosial diperluaskan kepada semua bawah 18 tahun jika dalam tempoh tiga tahun akan datang platform gagal mematuhi undang-undang Eropah.

Cadangan “perintah berkurung digital” pula menetapkan media sosial tidak boleh diakses oleh remaja berumur 15–18 tahun dari jam 10 malam hingga 8 pagi. – AFP

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress