Adakah Mengecas Telefon Dengan Bateri Lingkungan 20% - 80% Itu Satu Amalan Yang Baik?

Secara asasnya, kita kebiasaannya akan mula mengecas telefon pintar ataupun gajet apabila peratusnya mencecah kosong dan menunggunya sehingga penuh 100%.

Ini amalan kebiasaan dilakukan. Mungkin ada jugalah seketikanya anda mencabut disebabkan tidak mahu menunggu bateri penuh kerana mahu menggunakan telefon dengan cepat.

Kapsyen: Gambar hiasan - Mengecas telefon


Namun, pernahkah anda mendengar amalan atau nasihat mengatakan mengecas bermula bateri dari 20% dan hanya setakat 80% adalah sesuatu yang baik. Malah lebih baik dari membiarkan bateri kosong 0% atau 100% penuh.

Benarkah begitu? Apakah sains atau penjelasan disebalik nasihat sebegini? Adakah ada kebenaran sebenar disebaliknya?

Kapsyen: Gambar hiasan


Pertamanya sekali, umum sudah mengetahui kita menggunakan teknologi bateri lithium-ion yang berbeza dengan nikel kadmium beberapa dekad lalu.

Bateri secara asasnya mempunyai kitaran pengecasan (cycle charge) yang menjadi ukur aras kadar pereputan atau tahap bateri itu berfungsi dengan baik.

Apa itu kitaran pengecasan? (Asas bateri)


1 kitaran pengecasan adalah di mana bateri menjadi dari 100% ke 0%, dan kembali ke 100% semula dari 0%, ataupun sebaliknya (0% ke 100% dan 100% ke 0%). Itu satu kitaran. Apabila satu kitaran lengkap ini berlaku, kapasiti bateri akan berkurang sedikit, namun ia tidak terlalu dirasakan berkurang sehinggalah ia mencecah jumlah kitaran yang agak banyak.

Seperti contoh, sebuah telefon dengan kapasiti bateri 4,000mAh. Jika ia mencapai kitaran pengecasan sehingga 400 kali, kapasiti dan tahap kecekapan bateri akan berkurang menjadi seperti bateri 3,200mAh.

Kapsyen: Bateri yang mempunyai 80 kapasiti maksimumnya setelah kitaran pengecasan selama 500 kali.


Namun ini adalah sekadar contoh sahaja untuk menunjukkan bagaimana gambaran kapasiti yang berkurang setelah kitaran pengecasannya mencapai sesuatu tahap yang agak banyak.

Ini adalah mengapa telefon yang sudah lama digunakan tidak mempunyai jangka hayat yang lama disebabkan sudah dicas banyak kali dan juga kapasiti maksimumnya yang sudah berkurang berbanding semasa membeli pada awal-awal sebelumnya.

Apabila kita mengecas bermula dari 20% sehingga 80%, kitaran pengecasan ini tidak berlaku dengan sempurna disebabkan satu kitaran memerlukan bateri kosong sepenuhnya atau penuh 100%.

Jadi, amalan pengecasan sebegini akan melambatkan kitaran dan secara tidak langsung melambatkan proses penuaan atau 'pereputan' bateri.

Jika anda mengamalkan cara pengecasan ini bertahun lamanya, anda sebenarnya boleh mendapatkan kesihatan bateri yang lebih baik berbanding dengan mengecas dari 0% hingga 100%.

2 Keadaan Yang Buatkan Bateri Rasa 'Tidak Selesa'


Seperkara lagi yang menjadi faktor cara pengecasan 20% - 80% lebih baik adalah disebabkan tekanan pada bateri.

Secara mudahnya, ada dua keadaan yang menjadikan bateri lithium-ion pada telefon pintar ini tidak selesa. Ia adalah:

  • Haba

  • Apabila bateri dicas penuh atau dibiarkan kosong sepenuhnya


Haba ini memang tak perlu dijelaskan lagilah sebab sudah terang-terang anda sendiri pun semestinya tidak mahu telefon anda panas, ataupun mengecas ketika telefon panas.

Sudut yang kedua iaitu apabila bateri dicas penuh atau kosong sepenuhnya. Mengapa?

Sebenarnya apabila bateri dicas atau dinyahcas, ion bercas akan terhasil disebabkan elektron yang berpindah-randah dari anod ke katod.

Apabila bateri dicas penuh ataupun dinyahcas, bahagian anod dan katod mengalami ketidakseimbangan disebabkan kesemua elektron hanya berada dan tertumpu pada satu tempat.

Kapsyen: Posisi elektron apabila dicas penuh atau dinyahcas


Ketika ini, ia menjadikannya satu fasa yang paling tidak stabil pada bateri tersebut dengan kewujudan banyak elektron pada sesuatu kutub itu.

Jadi ini adalah penjelasan sains mengapa dengan mengecas bateri tidak sehingga penuh atau kosong sepenuhnya merupakan satu amalan yang baik untuk mengelakkan 'ketidakstabilan' bateri.

Anda perlu faham ketidakstabilan ini bukanlah bermaksud bateri meletup atau terbakar. Ia boleh dikatakan sebagai satu fasa 'tidak seronok' untuk sesebuah bateri, jadi jangan risau tiada risiko meletup jika mengecas sehingga 100% ya.

Kapsyen: Gambar hiasan


Itu adalah sebabnya mengapa timbulnya saranan bahawa bateri perlu dicas dalam lingkungan 20% - 80%. Selain untuk memanjangkan kitaran pengecasan, ia adalah baik untuk mengelakkan bateri dari terdedah dengan fasa 'tidak stabil' ini.

Bermakna lebih kerap anda mengecas dengan kaedah 20% - 80%, lebih kurang terdedah bateri telefon dengan rasa 'tidak selesa' itu.

Malah lebih baik jika bateri tersebut hanya dicas setakat 50% sahaja, fasa yang paling stabil kerana elektron terbahagi sama banyak antara kedua-dua kutub.

Jika tidak percaya, Apple sendiri turut menasihati anda untuk mengecas sekitar 50% untuk kesihatan bateri lebih lama.

Kapsyen: Dari laman web Apple


Nampak janggal tetapi ada sebab mengapa mereka berkata sedemikian.

Perlu Ikut Atau Tidak?


Apabila ada nasihat atau amalan yang lebih baik dalam penjagaan bateri telefon pintar, kebiasaannya kita akan ikut disebabkan kita mahu memastikan telefon kita boleh digunakan bertahun lamanya.

Akan tetapi, jika anda bertanya saya, adakah saya mengikuti cara pengecasan 20% - 80% sebegini, jawapannya tidak.

Saya kebiasaannya akan mengecas sehingga penuh atau kosong sepenuhnya sepertimana kebanyakan pengguna mengecas telefon mereka. Pendek kata, saya tidak kisah pun dengan cara pengecasan ini.

Mengapa?


Anda perlu tahu sesebuah jangka hayat bateri itu mengambil masa yang agak lama sebenarnya untuk menjadi 'teruk'. Kebiasaannya bertahun, paling awal setahun, paling biasa pun 2-3 tahun selepas pembelian, baru dapat rasa jangka hayat yang sudah dirasakan pendek. Guna telefon pun sudah tidak lama macam awal-awal beli.

Kapsyen: Gambar hiasan


Seperti yang dinyatakan pada awal artikel, kitaran pengecasan mengambil jumlah yang agak banyak untuk pengguna tersebut benar-benar rasakan kekurangannya.

Kebiasaannya kitaran pengecasan ini mengambil masa sehingga 2 tahun dan pada ketika telefon itu sudah digunakan sehingga 2 tahun, pengguna sudah mula mencari atau mahu memiliki telefon baharu.

Kapsyen: Gambar hiasan - Telefon lama


Alasan lain adalah jika anda mengikuti cara pengecasan sebegini, memang anda akan mendapati kesihatan bateri lebih baik, namun kos tersembunyi yang anda perlu bayar adalah anda sebenarnya kurang menggunakan telefon.

Iyalah. Kalau cas sehingga 80%, bukankah ada baki lagi 20% yang tidak digunakan lagi?

Tambahan lagi, kos penukaran bateri sebenarnya tidaklah semahal seperti menukar skrin yang mana jika sudah setahun atau 2 tahun menggunakan telefon, beli sahaja bateri baharu dan anda tidak perlu risau lagi jangka hayat bateri lama yang sudah merosot.

Rumusan


Tidak dinafikan amalan tidak mengecas telefon sehingga penuh ini baik untuk kesihatan bateri telefon pintar ataupun gajet secara keseluruhan. Namun, dari sudut pandangan praktikaliti, jarang kita menggunakan telefon bertahun-tahun lamanya.

Kapsyen: Gambar hiasan


Yang mana jika difikirkan bila sudah cukup tempoh yang panjang sehingga kita merasakan jangka hayat bateri mula teruk, kita pun akan cuba cari alternatif penggunaan yang baharu. Kita akan buat 2 benda ini:

  • Tukar/beli bateri baharu

  • Tukar/beli telefon baharu


Secara keseluruhan, tiada salahnya mengikuti cara pengecasan sebegini, dan bukan juga menjadi satu kesalahan jika anda tidak mengikutinya.

Namun penjelasan mengapa perlu mengecas sehingga 80% ini sebaiknya diketahui agar tidaklah terikut-ikut dengan kata orang lain tanpa mengetahui sebab dan punca sebenar.

Adakah anda mengamalkan cara pengecasan sebegini? Kongsikannya dengan kami pendapat anda.

Rujukan:

  1. Medium

  2. Energy

  3. Science

  4. Apple

Berkaitan