Selepas reaksi awal aku tentang HONOR 50 lite, aku telah menguji telefon ni dari segi prestasi harian dan gaming, kamera dan antara muka telefon ini iaitu Magic UI 4.2. Untuk bahagian pertama ini, aku nak ceritakan tentang prestasi Honor 50 Lite ini dahulu.
Cip pemprosesan yang digunakan pada HONOR 50 Lite ini ialah Snapdragon 662. Cip pemprosesan ini kepada korang yang mungkin tidak tahu adalah sebuah cip kelas pertengahan bawah. Prestasi cip ini tidak sebaik seperti siri Snapdragon 700.
Jadi dengan harga jualan RM999 pada HONOR 50 Lite ini, adakah Snapdragon 662 sudah cukup memadai untuk telefon ini ataupun Honor meletak harga terlalu tinggi untuk telefon dengan spesifikasi ini ? Mari kita lihat bagaimana prestasi HONOR 50 Lite ni dari segi pengguan biasa dan gaming.
Prestasi Harian
Dari segi penggunaan harian aku, HONOR 50 Lite memang sudah cukup bagus. Tetapi dengan ketiadaan kadar segar semula yang lebih tinggi membuatkan penggunaan telefon ini seperti menggunakan ‘mod perlahan’.
Ia bukan masalah yang besar tetapi untuk seseorang yang terbiasa menggunakan telefon dengan kadar segar semula yang tinggi seperti 90Hz ataupun 120Hz, ia membuatkan aku rasa agak kekok bila menggunakan telefon ni.
Ujian Penanda Aras ( Benchmark )
Kepada anda yang mahu prestasi Snapdragon 662 ini dari segi teknikaliti, jangan bimbang aku telah membuat beberapa ujian dengan antutu, geekbench dan 3DMark untuk ujian GPU. Jadi bagaimana markah untuk setiap ujian ini ? Mari kita lihat
Seperti yang dijangka, markah yang diberi agak rendah. Di antutu markah yang aku dapat adalah 214959 sahaja, manakala untuk geekbench, telefon ni menerima 308 untuk single-core dan 1271 untu multi-core. Beralih ke ujian GPU, telefon ini hanya mendapat 383 untuk markah keseluruhan dan 2.30 untuk purata bingkai per saat.
Gaming dengan Snapdragon 662
Ujian penanda aras tidak semestinya menunjukkan keupayaan penuh sesebuah telefon itu. Jadi untuk ujian terakhir, aku uji dengan bermain game. Jadi game yang aku pilih untuk ujian ini adalah PUBG new state, Genshin Impact dan League Of Legends. Ayuh kita tengok bagaimana mana prestasi setiap game ni dari segi fps dan tetapan yang ada dengan cip telefon ini.
PUBG New State
Kepada anda semua yang baru sahaja main PUBG New State, telefon ini mampu mainkan dengan tetapan yang agak tinggi. Sejujurnya aku boleh kata kepada korang semua, PUBG New State lebih optimum dimainkan berbanding PUBG Mobile dari segi tetapan dan prestasi yang dihasilkan. Cuma korang tidak boleh main dengan FPS yang tinggi. Tetapi untuk keseluruhan, aku memang berpuas hati dengan pretasi yang dihasilkan pada HONOR 50 Lite ini.
Genshin Impact
Beralih ke Genshin Impact, sebuah game yang sangat-sangat memerlukan penggunaan cip yang berkuasa kerana game ini memerlukan kuasa GPU yang tinggi. Seperti tekaan aku sendiri, Genshin Impact tidak mampu dimainkan dengan tetapan yang tinggi dan kalau tetapan yang paling rendah sekalipun ia masih lagi bermasalah untuk main dengan elok. Jadi Genshin Impact memang tidak sesuai untuk dimainkan dengan HONOR 50 Lite ini.
League Of Legends Wild Rift
Untuk game League of Legends Wild rift korang boleh main dengan tetapan yang tinggi, tetapi korang tidak boleh main dengan fps yang lebih tinggi dari 60fps. Bagi aku, LOL wild rift ni memang sebuah game yang sangat optima untuk kebanyakkan telefon. Kalau korang beli telefon bawah rm 600 pun, sudah boleh main dengan tetapan yang tinggi juga. Jadi kepada korang semua yang suka League Of legend Wild Rift, telefon ni boleh je main dengan tanpa ada masalah seperti lag ataupun frame drop.
Adakah perlu beli telefon kerana cip semata-mata ?
Sebagai konklusi untuk ujian pretasi pada HONOR 50 Lite ini, kita dapat tahu bahawa Snapdragon 662 mungkin sudah menjadi kurang relevan untuk tahun 2021 ini. Ia bukan tidak baik, cuma kalau nak dibandingkan dengan telefon-telefon yang hadir pada tahun ni. Banyak lagi yang lebih berkuasa dan lebih murah. Contohnya Redmi Note 10 Pro, ia hadir dengan skrin jenis AMOLED dengan 120Hz kadar segar semula, menggunakan Snapdragon 730G dan dijual dengan harga yang sama dengan HONOR 50 Lite ini iaitu RM999.
Jadi kepada korang semua yang ingin membeli HONOR 50 lite ini untuk bermain game. Lebih baik korang pilih telefon lain disebabkan telefon ini memang sangat tidak sesuai untuk dijadikan peranti untuk bermain game. Mungkin pretasi telefon ini tidak sebagus yang kita semua harapkan, tetapi korang kena ingat. Bukan semua orang beli sebuah telefon kerana cip dia sahaja. Ada yang inginkan kamera yang bagus, skrin yang cantik ataupun sistem operasi yang bagus.