Seperti biasa, apabila tibanya tahun baru, ramai rakyat Malaysia menetapkan azam baru saban tahun.
Dan sudah tentulah, antara azam tahun baru yang paling popular ingin dicapai oleh sebahagian besar rakyat yang merokok adalah untuk meningkatkan kesihatan mereka, secara khususnya azam berhenti merokok.
Namun, untuk mencapai matlamat ini, ia kekal sebagai sebagai salah satu cabaran paling besar pernah didepani sebahagian besar perokok di Malaysia.
Kajian pada tahun 2023 menunjukkan bahawa kira-kira 61.2% rakyat Malaysia yang cuba berhenti merokok tidak berjaya menjadikannya satu realiti.
Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam Malaysian Journal of Public Health Medicine (MJPHM), faktor-faktor yang dikaitkan dengan kegagalan perokok berhenti merokok termasuklah:
- bacaan karbon monoksida (CO) asas yang tinggi,
- skor FTND (Ujian Fagerstrom untuk Ketagihan Nikotin) atau tahap ketagihan nikotin yang tinggi,
- mula merokok pada usia remaja,
- merokok lebih 15 tahun,
- tidak menerima rawatan, serta;
- tabiat mengunyah sirih dan merokok kretek.
Sementara faktor-faktor yang dikaitkan dengan kejayaan berhenti merokok pula termasuklah:
- menyedari bahawa merokok membahayakan kesihatan,
- kos tembakau,
- berlakunya penyakit sama ada pada diri sendiri atau kenalan,
- sokongan daripada orang lain,
- ketagihan nikotin yang rendah,
- terapi penggantian nikotin,
- bilangan percubaan berhenti merokok,
- rawatan susulan yang teratur.
Faktor positif lain untuk berhenti merokok termasuk status perkahwinan, usia yang lebih tua, kecergasan fizikal, sekatan di tempat kerja dan sekolah, pengambilan alkohol, serta agama sebagai motivasi untuk berhenti.
Malah menariknya lagi, kajian itu turut mengaitkan kegagalan untuk berhenti merokok dengan etnik.
“Berdasarkan model akhir kami, selepas mengambil kira pembolehubah lain, bukan Melayu mempunyai kebarangkalian 3 kali ganda lebih tinggi untuk gagal berhenti merokok. Pemerhatian ini serupa dengan kajian Zamzuri 2021, di mana etnik Melayu merupakan peramal signifikan untuk berhenti merokok.”
Namun, kajian itu menjelaskan penemuan ini mungkin dipengaruhi oleh faktor halangan bahasa di mana individu yang menerima intervensi berasaskan budaya dan dalam bahasa pilihan mereka lebih cenderung untuk berhenti merokok berbanding terapi standard.
Kerajaan Malaysia telah mempergiat usaha dengan memperkenalkan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam (Akta 582), yang berkuat kuasa pada 1 Oktober.
Akta ini bertujuan mengurangkan kadar merokok di seluruh negara sebanyak 4%, dengan sasaran pengurangan kepada 15% daripada populasi menjelang tahun 2025.
Dengan penggunaan tembakau menyebabkan kira-kira 27,000 kematian setiap tahun, usaha ini mencerminkan keutamaan mendesak dalam kesihatan awam di dalam negara.
Kajian itu menyimpulkan, pihak berkuasa kesihatan perlu mewujudkan sistem sokongan yang lebih berkesan dengan menyasar dan menyesuaikan dasar serta strategi masa depan bagi memastikan lebih ramai perokok berjaya berhenti merokok.
{suggest}