Bermula sebagai syarikat telefon pintar yang kecil, OnePlus kini semakin dikenali ramai dan menjadi antara jenama paling dibualkan dalam kalangan peminat dunia teknologi.

Tidak lama lagi, mereka akan melancarkan siri OnePlus 9, telefon mereka paling premium dengan kerjasama pembuat kamera ikonik Hasselblad.
Sehubungan dengan itu, mari kita menyusuri sejarah dan melihat kembali apakah perkara kontroversi yang dilakukan oleh OnePlus paling diingati oleh pengguna.
1. Sistem Jemputan
Pada awal OnePlus menghasilkan model telefon pintar, mereka terpaksa melakukan sistem jemputan yang memerlukan pengguna dijemput untuk membeli sesebuah telefon melalui kod khas.

Melalui OnePlus One, telefon pertama mereka, sistem jemputan ini berjalan dengan agak baik kerana ketika ini masih ramai lagi yang belum mengetahui akan kewujudan telefon dan syarikat itu.
Namun, dengan model seterusnya OnePlus 2, sistem jemputan ini mula menjadi kurang efektif disebabkan semakin ramai pengguna yang sudah mengetahui syarikat ini dan juga ramai yang mahu membelinya.

Sudahnya, kitaran jangka hayat OnePlus 2 menjadi pendek disebabkan OnePlus sering melengahkan stok OnePlus 2 untuk dihantar kepada pengguna kerana unit yang terhad.

Tahun seterusnya, OnePlus banyak belajar dari kesilapan mereka sepanjang OnePlus One dan 2 apabila melancarkan OnePlus 3 tanpa memerlukan sistem jemputan serta boleh dibeli oleh sesiapa sahaja.
2. Mengelat
Penanda aras seperti AnTuTu digunakan sebagai ukuran prestasi telefon melalui nilai nombor. Penanda aras juga boleh dikatakan penting dalam industri kerana memberikan gambaran kasar bagaimana telefon berfungsi sebelum membelinya.
Mengambil kesempatan terhadap penanda aras, OnePlus ditangkap 2 kali kerana mengelat untuk skor penanda aras prestasi dalam AnTuTu pada OnePlus 3T dan OnePlus 5.
Apa yang mereka lakukan adalah OnePlus sengaja menaikkan kelajuan CPU apabila AnTuTu dibuka untuk mendapatkan skor yang tinggi.

Setelah ditangkap dan dimalukan oleh orang ramai, OnePlus meyakinkan pengguna mereka akan berhenti dari menggunakan kaedah menguji AnTuTu sebegini pada masa akan datang.
Pun begitu, OnePlus kembali ‘menipu’ pengguna pada OnePlus 5 dengan cara yang sama. Akan tetapi, OnePlus memberi alasan dimana skor tersebut dilakukan semata-mata mahu menunjukkan potensi sebenar OnePlus 5.
Ini memberikan kekeliruan kepada pengguna kerana skor tersebut lebih tinggi dari kebanyakan telefon lain seolah-olah OnePlus melakukan overclock pada CPU cip mereka.
Namun, bukan OnePlus sahaja yang tidak malu menipu dalam ujian penanda aras. Jenama lain seperti realme, Meizu, Xiaomi, Samsung, LG, dan HTC pun pernah menipu dalam ujian penanda aras semata-mata mahukan nilai skor yang tinggi dari pesaing mereka.
3. Skrin Terbalik
Apabila OnePlus 5 dilancarkan pada tahun 2017, OnePlus menerima kecaman kerana rekaannya menyerupai iPhone 7 Plus. Telefon itu juga turut menjadi kontroversi disebabkan pengguna melaporkan efek jeli apabila menatal pada skrinnya.
Ada antara pengguna yang efeknya terlalu ketara membuatkan pengalaman menggunakan OnePlus 5 tidak begitu enak.
Akhirnya didedahkan bahawa masalah itu berpunca dari skrin OnePlus 5 yang dipasang terbalik atas bawah.
Ia adalah tindakan sengaja OnePlus kerana mereka terpaksa mengubah posisi papan induk disebabkan kekurangan ruang untuk memuatkan sistem dwi-kamera OnePlus 5 (telefon pertama syarikat itu dengan dwi-kamera).
Disebabkan kabel skrin jauh dan tidak sampai untuk disambungkan kepada papan induk, skrin terpaksa diterbalikkan.
OnePlus muncul dengan kenyataan rasmi bahawa perkara ini adalah normal, jadi pengguna tidak perlu risau dengan efek jeli itu.
Seriuslah, OnePlus.
4. Smash The Past
Ingat lagi sistem jemputan OnePlus One? Antara kaedah yang dilakukan oleh OnePlus untuk memberi kod khas tersebut adalah dengan mengadakan kempen “Smash The Past”.

Apa yang pengguna perlu lakukan? Mereka perlu merakam video mereka memecahkan, menghancurkan, atau menghempas telefon yang mereka miliki semata-mata untuk mendapatkan kod khas jemputan itu.
Sudah tentulah ia menerima kecaman hebat kerana amalan membazir dan merosakkan alam sekitar.
Nak tahu apa lagi menarik, bukan kesemua telefon diterima untuk memasuki kempen ini. Hanya model yang mahal-mahal sahaja layak memasuki kempen ini seperti:
- iPhone 5, 5c, 5s
- Blackberry Z10, Z30
- HTC One, One Max, One (M7), One (M8)
- LG G Flex, G2, Nexus 5, G2 Pro
- Motorola Moto X
- Nokia Lumia 1020, Lumia 1520, Lumia 920, Lumia 925
- Samsung Note 2, Note 3, Galaxy S3, Galaxy S4, Galaxy S5
- Sony Xperia Z, Xperia Z Ultra, Xperia Z1, Xperia Z2
Itupun jika sudah pecahkan telefon, belum pasti lagi bernasib baik untuk terus menerima kod khas daripada OnePlus.
5. Ladies First
Juga OnePlus One dengan sistem jemputan mereka, OnePlus mengadakan kempen Ladies First sebagai kaedah mereka untuk memberikan kod khas pembelian.

Dengan Ladies First, golongan wanita perlu berkongsi gambar mereka bersama logo OnePlus. 50 gambar yang paling banyak like akan layak diberikan kod jemputan untuk membeli OnePlus One.
Namun, kempen ini dianggap seksis kerana sudah tentulah wanita yang lebih cantik akan mempunyai peluang lebih tinggi untuk menang.

OnePlus akhirnya menyedari kesilapan mereka dan menghentikan kempen ini serta-merta.
6. Jilat
Sempena menyambut Hari Valentine pada tahun 2017, OnePlus mengeluarkan iklan khas bertemakan hari kekasih itu untuk meraikannya.
Diberi tajuk “Who Do You Love?”, video iklan itu agak pelik dan menjijikkan kerana penonton dipaparkan dengan adegan menjilat telefon OnePlus 3/3T.

Di sepanjang menontonnya juga, anda dapat mendengar bait-bait romantik antara kekasih seperti “I’m in love with your sleek body” yang merujuk kepada fizikal telefon OnePlus 3/3T yang nipis.
Video iklannya tidak lama tapi tak tahulah kalau anda sanggup untuk melihat video itu sampai habis.
7. Kutip Data
Pengeluar telefon lazimnya menyertakan ciri pengumpulan data dalam sistem perisian telefon untuk merekod data yang digunakan untuk meningkatkan lagi pengalaman penggunaan dan juga produk-produk akan datang.
Apa yang tidak manis mengenai OnePlus adalah mereka turut mengutip sekali nombor siri telefon pada tahun 2017. Ini menjadikan OnePlus boleh mengenal pasti pengguna secara spesifik dengan data yang dikumpulkan.
Ia menimbulkan kemarahan peminat OnePlus dan orang ramai keseluruhan kerana OnePlus tidak sensitif terhadap isu privasi pengguna.
Hujung tahun 2017, OnePlus mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa pengguna akan mempunyai pilihan untuk tidak menyertai program pengumpulan maklumat lagi.
Tambahan, OnePlus juga meyakinkan pengguna bahawa mereka tidak lagi akan mengumpul alamat MAC, maklumat Wi-Fi, dan juga nombor telefon pengguna.