Sejak kebelakangan ini, kita sudah dapat lihat telefon pintar sudah semakin pintar. Banyak teknologi yang telah disumbatkan padanya bagi memenuhi keperluan pengguna.
Walau bagaimanapun, masih ada beberapa perkara yang sepatutnya sudah tidak patut wujud lagi pada telefon pintar. Oleh itu, ini adalah 5 perkara yang tidak patut ada pada telefon tahun 2021.
{snap}
Micro USB
Berani untuk diperkatakan, USB mikro ini tidak lagi relevan masa kini. Hal ini kerana kebanyakan peranti mahukan pengecasan yang amat pantas.
Namun, telefon-telefon berkelas permulaan kebiasaannya masih menggunakan USB jenis sebegitu. Sudahlah ia tidak cukup laju untuk mengecas, tetapi juga melecehkan apabila mahu memasukkan ke dalam peranti.
Jadi, penggunaan USB-C adalah benda yang perlu dijadikan standard baharu dunia teknologi masa sekarang. Kalau dilihat, pencukur elektrik pun sudah menampilkan pengecasan menggunakan USB-C.
{snap}
Skrin HD+
Skrin dengan paparan HD+ masih tetap didominasi pasaran telefon pintar berkelas permulaan. Mungkin faktor utama mereka adalah untuk mengurangkan kos.
Akan tetapi, kos yang sudah dikurangkan itu, harga peranti tidaklah terlalu murah sangat. Kekurangan resolusi ini semestinya sangat ketara dapat dilihat kerana visual dipaparkan pecah.
Ditambah lagi dengan saiz skrin telefon pintar sekarang sekurang-kurangnya mesti 6 inci. Penawaran resolusi FHD+ sebenarnya masih mampu menarik perhatian pengguna tahun ini walaupun dengan panel LCD.
Namun, dengan syarat kadar penyegaran haruslah tinggi, barulah ia seimbang. Barisan Redmi membuktikan bahawa mereka berjaya.
Lihat sahaja Redmi Note 10, memberikan panel AMOLED pada harga yang sangat mampu milik. Hasilnya, ramai yang memilih peranti tersebut.
{snap}
Kadar Penyegaran 60Hz
Bagi komuniti “PC Master Race”, kadar segar semula sehingga 240Hz atau 360Hz sudah mula digunakan. Malah, pada masa kini juga, monitor 144Hz adalah paling minimum untuk dibeli. Harganya sekarang tidaklah semahal seperti dahulu.
Begitu juga dengan telefon pintar, telefon berkelas pertengahan sebenarnya banyak yang mula menawarkan kadar penyegaran hingga 90Hz.
Pun begitu, tetap ada jenama yang kadangkala membuang ciri ini pada telefon pintar baharunya walaupun siri sebelum itu sudah ada.
Sepatutnya perkara ini tidak patut berlaku kerana sekali pengguna sudah menikmati kadar penyegaran yang tinggi, perasaan “sakit” mata melihat skrin 60Hz boleh terasa.
{snap}
Lensa Makro
Corak penggunaan lensa makro pada telefon pintar kelas pertengahan mampu milik boleh dilihat sangat kerap dilancarkan tahun ini.
Pengguna sekarang kini lebih bijak menilai dan tidak mudah terpedaya dengan taktik pemasaran “4 Tetapan Kamera”. Jikalau kamera telefon pintar ini bersifat modular, pasti ramai yang mencabut dan membuang lensa yang tidak diperlukan.
Nak dibandingkan, penggunaan ultra-lebar jauh lebih berfungsi berbanding makro. Sebenarnya, memberikan lensa telefoto atau kemampuan zum 2x pun cukup dapat hasilkan gambar yang agak dekat.
Jadi, sebab apa jenama-jenama sebegini masih lagi berdegil untuk memuatkan lensa makro? Bukankah lebih baik menukarkan lensa tersebut atau tidak masukkan terus.
Sedikit sebanyak kos yang diperuntukkan pada lensa itu boleh digunakan pada bahagian yang lain di telefon pintar.
{snap}
Bateri Bawah 4000mAh
ASUS Zenfone 8, sebuah telefon bertubuh kecil mampu memberikan spesifikasi tinggi dengan bateri 4000mAh. Malah, kebanyakan telefon Android sudah pun menjangkau 7000mAh.
Walaupun begitu, jenama yang paling terkenal dengan bateri kecil ini adalah Apple. Buat pengetahuan, iPhone 12 Pro Max pun masih tidak mencapai bateri 4000mAh.
Hal bateri tiada masalah bagi telefon pintar Android, tidak kira berharga RM500 sekali pun.
Namun, Apple tetap dengan ego tersendiri. Benar bahawa iOS serta cip pemprosesannya mampu memberikan kecekapan penggunaan tenaga.
Akan tetapi, berdasarkan pengalaman saya sebelum ini, iPhone yang sudah masuk usia 2-3 tahun, kekerapan mengecas peranti akan berlaku.
Logiklah kerana kapasiti bateri akan berkurangan hari demi hari. Semakin ‘ganas’ kita menggunakannya, semakin cepat jangka hayatnya menurun.