Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pemuliharaan Spesies Migrasi Haiwan Liar (CMS) pada Ahad meluluskan penyenaraian 40 spesies baharu untuk perlindungan antarabangsa, termasuk burung hantu salji yang terkenal dalam siri Harry Potter.
Keputusan itu dibuat pada penghujung sidang kemuncak COP15 mengenai spesies migrasi di Campo Verde, Brazil, yang menghimpunkan wakil dari 132 negara serta Kesatuan Eropah.
Sidang ini merupakan antara pertemuan global terpenting bagi usaha pemuliharaan hidupan liar.
Selain burung hantu salji (Bubo scandiacus), senarai baharu itu turut merangkumi burung Hudsonian godwit (Limosa haemastica) — burung pantai berparuh panjang yang diancam kepupusan — serta jerung tukul besar (Sphyrna mokarran).
Senarai tersebut juga merangkumi mamalia darat seperti dubuk belang (Hyaena hyaena) serta hidupan akuatik lain seperti memerang gergasi (Pteronura brasiliensis).
Negara-negara yang menjadi pihak kepada CMS diwajibkan secara undang-undang untuk melindungi spesies yang disenaraikan sebagai berisiko pupus, memulihara serta memulihkan habitatnya, menghapuskan halangan terhadap migrasi, dan bekerjasama dengan negara lain dalam lingkungan habitat spesies tersebut.
Campo Verde terletak di kawasan tanah lembap Pantanal yang kaya dengan biodiversiti di selatan Amazon, Brazil.
Menurut laporan yang dikeluarkan menjelang sidang kemuncak itu, hampir separuh (49 peratus) daripada semua spesies yang direkodkan oleh CMS menunjukkan tanda penurunan populasi, manakala hampir satu daripada empat spesies berdepan ancaman kepupusan di peringkat global.
Satu lagi penilaian utama PBB yang diterbitkan ketika pembukaan sidang turut memberi amaran bahawa populasi ikan air tawar migrasi — yang penting untuk kesihatan sungai dan sumber rezeki jutaan manusia — sedang merosot dengan ketara dan berisiko runtuh.
Kemusnahan habitat, penangkapan ikan berlebihan dan pencemaran air dari Amazon hingga ke Sungai Danube mengancam kelangsungan ratusan spesies yang melakukan migrasi jarak jauh merentasi sungai-sungai utama dunia, yang sering kali tidak disedari.
November lalu, Brazil turut menjadi tuan rumah sidang kemuncak iklim COP30 di bandar Belem di Amazon. – AFP/
{suggest}
