Siapa tak kenal Samsung? Syarikat gergasi yang berjaya menghasilkan telefon pintar yang canggih dan sentiasa di hadapan. Namun, jika kita imbau kembali dalam tempoh beberapa tahun lepas, Samsung juga berani menghasilkan beberapa telefon istimewa dan bersifat inovatif. Haa tunggu apa lagi, marilah kita lihat tiga telefon unik yang pernah ditawarkan Samsung dalam siri Galaxy.
Samsung Galaxy Beam
Kepada para peminat bola sepak, sudah pasti kita lebih gemar menonton perlawanan bola sepak pada skrin besar di kedai mamak. Begitulah konsep yang diterapkan di telefon ini, iaitu ia mempunyai projektor mini terbina. Unik bukan? Anda boleh memancarkan skrin telefon itu kepada dinding untuk melihat kandungan dengan lebih puas.
Walau bagaimanapun, telefon ini menerima beberapa kritikan seperti saiz pancarannya tidak terlalu besar, kurang pencahayaan iaitu sebanyak 15 lumens sahaja, dan resolusi imej yang kurang menyengat iaitu 640×360 sahaja.
Oleh itu, Samsung juga tidak mempunyai hasrat untuk menyambung pengeluaran siri Galaxy Beam ini.
Inovatif, tetapi kurang praktikal.
{suggest}
Samsung Galaxy Round
Pada setahun dua tahun yang lepas, tren skrin melekuk ini seperti telah dinormalkan pada telefon-telefon kelas andalan. Ia bertujuan untuk membuktikan kemampuan syarikat itu untuk menghasilkan skrin yang sukar untuk dihasilkan, dan pada masa yang sama ia memberi aura premium kepada sesebuah telefon itu.
Samsung Galaxy Round menggunakan konsep lekuk yang agak unik. Sekali imbas,bagi saya ia kelihatan seperti taman skateboard. Akan tetapi, rupanya yang unik itu hadir dengan beberapa masalah. Antara masalah terbesar adalah pengguna berasa pening bila membaca teks dalam jangka masa yang lama. Ia mungkin disebabkan oleh dimensi skrin tersebut yang tampak sedikit kekok.
Walaupun siri telefon ini tidak diteruskan oleh Samsung, saya percaya bahawa inovasi ini adalah antara penggerak kepada syarikat-syarikat lain untuk menghasilkan telefon dengan skrin lekuk.
Samsung Galaxy Camera
Teringin nak menggunakan sebuah telefon yang mempunyai fizikal seperti sebuah kamera? Ini dia Samsung Galaxy Camera.
Ia mempunyai butang shutter fizikal, terdapat lampu flash seperti di kamera sebenar, dan tidak dilupakan Samsung Zoom Lens dengan spesifikasi 4.1-86.1mm 1:2.6-5.9 23mm. Lens optikal ini menyerlahkan lagi rupa paras telefon ini sebagai sebuah kamera sebenar.
Walau bagaimanapun, ia tetap berada di kategori sebuah telefon, jadi fungsi-fungsi sebuah telefon tetap tersedia. Cuma ia kelihatan sedikit kekok apabila pengguna ingin menjawab panggilan. Untuk sebuah telefon sebesar ini, pastinya pengguna berasa sedikit malu untuk menjawab panggilan di khalayak ramai.
Samsung meneruskan siri Galaxy Camera ini dengan Galaxy Camera 2. Namun ia tidak diteruskan selepas itu. Mungkin kerana Samsung ingin memfokuskan kepada saiz lebih nipis dan lebih praktikal sebagai sebuah telefon untuk dibawa ke mana sahaja.
Sebagai penutup artikel ini, saya ingin memuji pihak Samsung kerana bersifat kreatif dan inovatif dalam menghasilkan peranti-peranti ini. Secara tidak langsung, inovasi ini telah membuka pintu untuk syarikat lain menghasilkan telefon yang lebih baik.
Sumber: engadget , The Economic Times