16 Fakta Menarik Siri Animasi Keluang Man Yang Anda Tidak Tahu

Adaptasi siri animasi popular 90-an  ke aksi sebenar ke layar perak bakal menjadi kenyataan selepas Astro Shaw secara rasminya mengumumkan barisan pelakon untuk filem itu.

Hero dan beberapa watak utama bagi filem ini telah pun diumumkan di mana, Keluang Man/Borhan akan dimainkan oleh Nas-T (KAMI, Lagenda Budak Setan The Series). watak Inspektor Sahab dipegang oleh Anwaar Beg Moghal, Shamsir dipertanggungjawakan kepada Remy Ishak dan Ahmad dibawa oleh Datuk Rosyam Nor.



Watak Keluang Man diilhamkan oleh sekumpulan karyawan animasi pada tahun 1996 yang mengimpikan kehadiran Superhero Kebangsaan pada ketika itu.

Jadi di sini dikongsikan beberapa fakta menarik tentang siri animasi Keluang Man.

1. Konsep, tema, watak animasi dan rekabentuk penerbitan animasi Keluang Man telah dihasilkan bersama oleh En Kamn Ismail, Raja Zaharuddin Shah, Azizi Amsam, Amir Hamzah Hashim, Azhar Saad & Wan Ayumi Wan Yusof.

2. Rekaan Watak Animasi Keluang Man telah dibangun dan diperkemas oleh Raja Zaharuddin Shah Raja Chik pada Jun 1997.

Kapsyen: Keluang Man cuba lari dari konsep stereotaip cerita superhero sedia ada. Ia menampilkan watak hero yang bersahaja dan tidak ada 'Kuasa Hebat' melainkan panduan naluri dan kejujuran.


3. Siri ini secara rasmi dimulakan penerbitannya pada 1 Jun 1997 dengan karyawan asal : Kamn Ismail, Wan Ayumi, Raja Zaharuddin Shah, Amir Hamzah Hashim, Ahar Saad,  Azizi Amsam, Zawawi Zaid, Anes Wardati, Hafidz Abu Hasan, Asmawi, Nor Hairil Azwa, Karim Wahab, Asro Zainudin, Norhazana, Arifin Sharif, Azman Wahab dan dibantu oleh Siti Zaharah serta Makcik Ramlah.

4. Sebelum memulakan penerbitan, satu kajian telah dilakukan berkaitan dengan suasana kehidupan dan perwatakan 'Tetamu' di Taman Bahagia-Tampoi. Ini berkaitan dengan penampilan watak utama siri ini yang ditampilkan sebagai pesakit mental yang berbudi mulia.

5. Olahan cerita dan 13 sinopsis awal siri ini dihasilkan dalam masa 1 minggu oleh Kamn Ismail dan dibantu oleh Wan Ayumi Wan Yusof.

Kapsyen: Pengasas dan pencipta Keluang Man, Allahyarham Kamn Ismail telah meninggal dunia pada 9 Disember 2019 dahulu pada usia 63 tahun.


6. Storyboard pertama dihasilkan oleh Raja Zaharuddin Shah.

7. Episod pertama 'Pengenalan Keluang Man' berjaya dihasilkan dalam tempoh 2 bulan.

8. Sebelum Keluang Man, Encik Kamn Ismail pernah mengarah animasi Usop Sontorian.



9.  Siri animasi Keluang Man merupakan animasi tempatan pertama yang menggabungkan animasi 2D dengan latar belakang 3D. 2 Teknik itu digabungkan kerana kesukaran menghasilkan gerak animasi dan gerak kamera yang menarik dalam animasi itu.

Kapsyen: Google Doodle pernah meraikan hari kelahiran ke-67 Allahyarham Kamarudin Ismail pada 8 Februari 2023 lalu yang diiktiraf sebagai tokoh perintis penggunaan teknologi komputer dan aplikasi digital dalam animasi pada tahun 90-an.


10. Lagu tema KELUANG MAN telah dicipta oleh Syed Imanzali yang merupakan mencipta lagu popular, Permaidani dendangan Aris Ariwatan. Lirik lagu Keluang Man pula telah ditulis oleh M. Adzlan Sulong (Nayan).

11. Lagu Keluang Man telah dinyanyikan oleh Krisya dan telah dirakam pada September 1997.

12. Antara penyumbang suara terawal  bagi siri animasi ini adalah:

  • Akib Junid sebagai Borhan/ Keluang Man

  • Azhar Saad sebagai Samad / Tiong Man

  • Wan Ayumi sebagai Kathy Ismai (wartawan)

  • Asmawi sebagai Inspektor Shahab

  • Hafidz sebagai Dr. Ramoo

  • Karim Wahab sebagai Zairi (jurugambar)

  • Adik Nazirah Kamarudin sebagai Mei Mei

  • Azman Wahab sebagai watak-watak lain.


13. Siri animasi Keluang Man diterbitkan oleh UAS Animation Studios (M) Sdn. Bhd.

14. Krisis kegawatan ekonomi pada 1997-1998 memberi kesan yang agak ketara kepada seluruh warga penerbitan Keluang Man. Sekali gus menjadi punca kepada penamatan siri Keluang Man.

15. Keluang Man telah dipilih menjadi maskot dan rakan promosi Tahun Kelawar negara pada tahun 2011-2012 dahulu.

16. Astro Shaw telah menandatangani lesen hak cipta adaptasi animasi Keluang Man ke filem bersama pemegang IP (Harta Intelek) Keluang Man, Iconic Animation Studio Sdn Bhd bagi menerbitkan filem aksi sebenar Keluang Man.

{suggest}

Sumber: keluang-man.blogspot.com, Gempak, Google Doodles