Cerita bab tol tanpa palang atau MLFF ini bukanlah baharu, bahkan sudah bertahun-tahun dibincang, diumum dan dicuba oleh menteri yang berbeza-beza sejak 2015 lagi.
Imbas kembali, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pernah berkata kerajaan menjangkakan tol tanpa palang dapat dilaksanakan seawal 2025.
Akan tetapi, dalam perkembangan terbaru, Kementerian Kerja Raya (KKR) memberitahu bahawa 13 daripada 33 syarikat konsesi lebuh raya belum bersetuju untuk melaksanakan sistem pembayaran tol Multi Lane Fast Flow (MLFF) atau tol tanpa palang.
Menurut Datuk Seri Ahmad Maslan, rundingan masih lagi berjalan dan kerajaan akan menunggu sehingga 16 Disember ini dan jika tiada persetujuan dicapai, maka kementerian akan mengusulkan cadangan baharu.
Kenapa banyak syarikat tol tidak setuju?
Menurut Khairy Jamaluddin (KJ) dalam Keluar Sekejap, terdapat sebuah syarikat yang mengusulkan untuk melaksanakan sistem tol tanpa palang atau MLFF di Malaysia pada beberapa tahun lalu.
Perkongsian ini selari dengan kenyataan terbaru oleh Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi yang berkata, “Ada sebuah syarikat dalam dua tahun lebih (yang lalu) kemukakan cadangan di mana kerajaan ada tandatangan. Akhirnya dikemukakan Proof of Concept (POC) untuk dipertimbangkan.”
Akan tetapi, kebanyakan syarikat konsesi tol tidak yakin dengan syarikat tersebut untuk meneruskannya kerana syarikat itu tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan kutipan di tol, tambah KJ.
Selain itu, mereka juga khuatir ia akan perkhidmatan kutipan tol ini akhirnya akan dimonopoli oleh syarikat tersebut.
Malah, keresahan lain mereka juga termasuklah kekaburan tentang kos yang perlu ditanggung dalam melaksanakan MLFF ini.
Shahril Hamdan dalam Keluar Sekejap turut menambah bahawa di bawah cadangan MLFF yang ditolak 13 syarikat ini, syarikat yang menguruskan pembayaran tol tersebut akan mengumpul terlebih dahulu wang dibayar pengguna, kemudian barulah dilepaskan kepada syarikat konsesi tol.
Ini berbeza dengan model sekarang di mana walaupun pihak ketiga iaitu Touch ‘n Go yang menguruskan kutipan tol, namun ia disalurkan terus ke pihak syarikat konsesi tol.
“Palang tol ialah bentuk kawalan, jika sesiapa yang tidak bayar boleh kelihatan dengan jelas … tetapi, kalau ada sistem tol tiada rumah tol macam sekarang, maka mereka yang tidak bayar tol akan bertambah, jadi sekarang kita kena pinda akta bagaimana kaedah (atau) siapa yang kena bayar (jika) mereka lari daripada pembayaran tol ini?” jelas Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dalam Sidang Dewan Rakyat.
Untuk makluman, akta sedia ada juga perlu diubah untuk mengawal ketirisan akibat pengguna yang tidak membayar tol memandangkan tiada lagi palang yang menghalang lalu lintas.
Syarikat manakah yang mencadang dan mahu terlibat dalam sistem pembayaran MLFF itu?
Berdasarkan laporan daripada FMT, besar kemungkinan syarikat tersebut ialah sebuah anak syarikat di bawah YTL Holdings yang juga pemilik Yes (YTL Communications), syarikat telekomunikasi tempatan yang kian meningkat sekarang.
Dalam tahun ini juga, terdapat juga laporan mengatakan Berjaya Group cuba menyaingi YTL dan telah pun bertemu dengan 32 syarikat konsensi tol untuk berkongsi tentang konsep MLFF mereka sendiri dan mendapatkan maklum balas sebelum mengusulkannya kepada kerajaan.
Nampaknya MLFF turut menjadi rebutan dua syarikat kapitalis gergasi di Malaysia.
Dengan apa yang sedang berlaku sekarang, pada hemat anda, apakah MLFF akan diteruskan dan jika akhirnya masih berbalik kepada 2 syarikat ini, yang mana satukah yang anda rasa akan dipilih?
Rujukan: Keluar Sekejap, BERNAMA, FMT
{suggest}