ZOTAC merupakan jenama yang tidak asing lagi dalam arena kad grafik dan komputer. Seiring dengan peredaran zaman, ZOTAC menyertai pesaing mereka lain dengan memperkenalkan konsol permainan mudah alih pertamanya, ZONE.
Dari sudut spesifikasi, ZONE dilengkapi pemproses AMD Ryzen 7 8840U dengan grafik AMD Radeon 780M. Ia digandingkan bersama memori 16GB LPDDR5X dan storan dalaman 512GB M.2 NVMe PCIe SSD.
Paparan jenis AMOLED bersaiz 7 inci ditawarkan dengan kadar segar semula 120Hz, resolusi 1080p, kecerahan sehingga 800 nits tetapi tiada sokongan VRR. Bateri pula berkapasiti 48.5Wh.

Dari segi rekaan, ia hadir dengan 1x port USB4 di atas dan di bawah dengan PD 3.0 serta DP 1.4 , slot UHS-II microSD, bicu audio, butang laras audio, butang kuasa pada bahagian atas dan pembesar suara pada bahagian bawah.
Butang bahu bahagian kiri dan kanan ibarat MSI Claw tetapi ada suis padanya untuk laras mengikut kesesuaian permainan yang dimainkan. Sementara, dua butang lagi pada bahagian belakang peranti.
Bahagian depannya pula, umpama kacukan ROG dan Steam Deck. D-Pad ada pada bahagian kiri atas peranti dan ada dua pad sentuh pada kanan dan kiri. Analognya juga adalah jenis hall effect dan padanya lagi ada tombol boleh berputar.
Buat masa sekarang, ZOTAC tidak mendedahkan lagi harganya tetapi dikatakan sekitar $800 (~RM3759) dan bakal dilancarkan tahun ini juga.
Gambar Utama: SireGoupil
