YouTube Music Kini Hadir Dengan Lirik Pada Semua Peranti iOS Dan Android

Beberapa minggu lalu, YouTube Music melancarkan skrin playback baru dengan fungsi eksperimen yang memaparkan lirik pada aplikasi Android. Kini, YouTube Music tampil dengan fungsi paparan lirik tersebut pada semua peranti iOS dan Android.

Dengan fungsi ini, semua pengguna sama ada berbayar atau tidak, akan menerima akses lirik statik daripada YouTube Music. Ini bermakna, anda dapat memainkan lagu tersebut sambil menyanyi mengikut lirik yang dipaparkan. Bagaimanapun, anda perlu terus membuka aplikasi ini untuk melihat lirik tersebut.



Untuk melihat fungsi ini, hanya perlu tekan pada butang (i) di sebelah tajuk lagu yang dimainkan. Anda perlu tatal ke bawah secara manual untuk melihat lirik tersebut secara keseluruhan. Perlu diingatkan juga, pada masa ini tidak semua video hadir dengan lirik terbina walaupun ia dimuatnaik oleh akaun rasmi penyanyi atau syarikat rakaman.

Fungsi ini juga mungkin akan ditambah baik pada masa akan datang.

Sumber: Engadget