YouTube Mahu Tangani Isu "Dislike Mobs"

Dislike mobs merupakan istilah yang dikaitkan dengan perlakuan memberikan thumbs down (tidak suka) secara terburu-buru  dan tanpa menonton keseluruhan video di YouTube.

Antara contoh mudah yang boleh kita lihat adalah video YouTube Rewind 2018  yang kini mencatatkan 15 juta dislike.

Mungkin ada diantara penonton merasakan video-video di YouTube tidak layak mendapat like, tetapi gejala dislike mobs dilihat mampu memberikan impak negatif kepada pembikin video.

Pengarah Pengurus Projek YouTube, Tom Leung melalui video di saluaran Creator Insider ada menyuarakan beberapa jalan penyelesaian untuk isu tersebut.

https://www.youtube.com/watch?v=EEdlaJo5YV8

Antara yang disebutkan adalah menyembunyikan paparan like/dislike  tetapi pemilik video diberikan ruang memilih tetapan itu.

Ia mungkin dapat mengurangkan serangan dislike dari pengguna tetapi dalam masa yang sama, maklum balas positif seperti like juga penting bagi pengguna lain.

Cadangan kedua adalah memberi peringatan kepada pengguna ketika mahu memberikan dislike. Apabila butang dislike ditekan, satu paparan akan muncul menanyakan soalan kenapa video itu ditandakan dengan dislike.

Walaubagaimanapun ia agak sukar untuk diimplementasikan dan satu lagi alternatif adalah membuang terus butang dislike dari platform tersebut. Langkah ini mungkin agak keterlaluan dan sudah pasti segelintir pengguna tidak akan bersetuju dengan kaedah itu.

Antara cadangan yang diberikan pada ruangan komen adalah ciri memberikan like/dislike mengikut garis masa. Ini supaya pembikin video dapat mengetahui bahagian mana video yang tidak disukai.



Satu lagi cadangan adalah ciri like/dislike diaktifkan hanya selepas video ditonton 25%.