YES Tawar SIM 4G Dengan 40GB Data Percuma Serta Akses Kandungan Pembelajaran

Seperti semua sedia maklum, Perintah Kawalan Pergerakan kini dilanjutkan sehingga 14 April 2020. Ini bermakna, tempoh penutupan bagi semua sekolah juga akan turut dilanjutkan. Sebagai inisiatif, Yayasan YTL dengan kerjasama YES dan FrogAsia menawarkan SIM kad 4G dengan data percuma dan akses kandungan pembelajaran kepada semua pelajar yang mendaftar di sekolah kerajaan.



Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh YTL, yayasan ini mendapati bahawa ada keluarga yang mempunyai akses terhad kepada sumber pembelajaran, dan tidak semua orang mampu membayar untuk sambungan internet untuk pembelajaran. Oleh itu, YTL mengadakan program Learn From Home (LFH) ini sebagai inisiatif untuk membolehkan anak-anak terus belajar sepanjang tempoh kawalan ini.

Bagi program ini, setiap penjaga layak menerima sehingga 5 SIM dengan setiap satu SIM untuk seorang anak. Untuk mendapatkan SIM ini, ibu bapa perlu menyediakan beberapa dokumen termasuk MyKad penjaga dan pelajar.

Pendaftaran boleh dilakukan melalui pautan ini dan memerlukan pengesahan dalam tempoh 24 jam melalui panggilan video pada aplikasi WhatsApp. Setelah menerima pengesahan, SIM akan dihantar melalui pengeposan yang mengambil masa 3 hari bekerja.

Setiap SIM yang diterima perlu diaktifkan sebelum 31 Mei 2020 dan pengguna akan menerima 40GB data secara percuma dengan tempoh sah 2 bulan dari tarikh pengaktifan SIM tersebut.

YTL Learn From Home

Selain itu, anda juga akan menerima akses kepada FrogAsia, iaitu platform pembelajaran secara maya yang diuruskan oleh Yayasan YTL. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tawaran ini, layari laman sesawang YTL.