YB Syed Saddiq Nyatakan Hasrat Penganjuran Liga Sukan Kebangsaan Tahun 2020

Bagi menjawab persoalan oleh Ahli Parlimen Kluang, Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq mengumumkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Sukan Negara telah merangka pelbagai program pembangunan bagi Sukan Elektronik di semua negeri.

YB juga berharap agar akan ada lagi tambahan daripada susulan suntikan dana khas RM10 juta yang diperuntukan pada belanjawan tahun lepas.

Jadi, melalui perancangan yang telah dibincangkan, pusat-pusat latihan akan mula ditubuhkan untuk memastikan perlaksanaan program-program bagi sukan jenis ini dapat diseragamkan.

Namun, bagi memenuhi keperluan penubuhan pusat-pusat latihan tersebut, kolaborasi yang khusus perlu dilakukan kerana ia akan melibatkan prosedur daripada beberapa agensi seperti pihak berkuasa di negeri masing-masing.

Menurut YB Syed Saddiq, pihak kementerian akan menganjurkan liga sukan elektronik kebangsaan pada tahun 2020 akan datang dan di samping itu juga, melalui liga ini, sistem ranking pemain akan diwujudkan bagi dapat mengenalpasti prestasi semasa pemain.

Ini merupakan satu langkah dan kriteria bagi pemilihan atlet untuk mewakili negara ke pertandingan-pertandingan di peringkat antarabangsa.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Johor juga telah menyenaraikan sukan elektronik sebagai salah satu sukan yang akan dipertandingkan di SUKMA 2020.

Akhir sekali, pihak kementerian berharap agar lebih ramai bakat-bakat baru akan dapat dicungkil dari peringkat negeri hingga ke peringkat daerah.

 

Sumber: Twitter YB Syed Saddiq