Xiaomi Umum Pelancaran Peranti Mi 8 Di Malaysia, Dijual Dengan Harga Tidak Masuk Akal

Setelah ditunggu sekian lama, akhirnya hari ini Xiaomi Malaysia telah melancarkan peranti Mi 8 mereka secara rasmi untuk pasaran tempatan. Mi 8 adalah salah satu daripada lima peranti Xiaomi dengan cip Snapdragon 845 yang diperkenalkan tahun ini.



Selain penggunaan cip terbaru dari Qualcomm ini, Mi 8 akan hadir dengan unit pemprosesan grafik Adreno 630, paparan skrin AMOLED 6.21-inci beresolusi FHD+ dengan rekaan takuk.

Ia juga didatangkan dengan dwi-kamera utama yang menggabungkan dua lensa 12-megapiksel dengan fungsi AI yang diiktiraf antara terbaik di dunia serta kamera swafoto 20-megapiksel. Dari segi baterinya pula, peranti ini akan dijana oleh bateri berkapasiti 3,400 mAh.



Bukan itu sahaja, peranti ini dilengkapi sistem GPS dengan dwi-frekuensi bagi membolehkan pengguna menikmati navigasi yang lebih tepat. Xiaomi membawa masuk tiga variasi warna bagi peranti ini iaitu hitam, biru dan putih, namun warna putih hanya akan tersedia pada bulan hadapan.

Anda boleh mula mendapatkannya melalui pasaran Lazada dan Shopee dengan harga RM 1,599(6GB RAM + 64GB) pada 16 Ogos ini, manakala bagi model 6GB RAM + 128GB pula hanya akan mula dijual pada 18 Ogos dengan harga RM 1,899. Kedua-dua variasi juga akan tersedia di pengedar sah Xiaomi di seluruh negara bermula 18 Ogos nanti.

 

Sumber