Xiaomi Semakin Garang Tembusi Pasaran Eropah, Beri Amaran Kepada Para Pesaing

Xiaomi merupakan antara jenama pilihan oleh pengguna telefon pintar di Asia. Namun, di Eropah, nama mereka agak tenggelam berbanding jenama-jenama besar lain di sana seperti Apple, Samsung dan Sony.

Namun kini, mereka nampaknya semakin mengorak langkah untuk menembusi pasaran-pasaran utama di benua tersebut. Terbaru, Xiaomi akan membuka kedai rasmi pertama mereka di Kota London pada bulan hadapan.

Kapsyen: Kredit: Xiaomi


Ia secara tidak langsung menandakan kemasukan mereka ke pasaran United Kingdom(UK). Satu majlis bagi meraikan ketibaan mereka ke negara berkenaan akan diadakan pada 8 November ini di Barbican Centre, London.

Xiaomi telah bekerjasama dengan pengendali perkhidmatan mudah alih UK, Three di mana mereka akan menjual peranti Xiaomi di laman atas talian serta 327 kedai fizikal mereka bermula 9 November nanti.

Kerjasama ini juga membolehkan warga UK mendapatkan peranti Xiaomi secara bebas-SIM selain secara kontrak tanpa perlu membayar penuh nilai peranti yang diingini.

https://twitter.com/XiaomiUK_/status/1046726837655691264

Ini merupakan pasaran keempat Eropah yang ditembusi oleh Xiaomi sejak menembusi pasaran Sepanyol hujung tahun lepas. Kira-kira enam bulan selepas itu, mereka telah berjaya memasuki pasaran Itali dan Perancis pula.

Perkara ini sekaligus memberi amaran kepada pengeluar utama lain untuk mempertingkatkan promosi mereka di Eropah selepas ini. Hal ini kerana dengan harga yang Xiaomi tawarkan pada peranti mereka, tidak sukar untuk mereka mula menambat hati pengguna di sana dalam masa yang singkat.

 

Sumber: UberGizmo