Xiaomi Redmi 4A Mula Dijual Di Malaysia (RM449)

Kelmarin, Xiaomi Malaysia akhirnya mengumumkan secara rasmi penjualan model Redmi 4A untuk pasaran dalam negara yang bermula semalam(18 Januari 2017). Pengumuman yang dibuat melalui Facebook bertarikh 17 Januari 2017 itu memaparkan imej telefon pintar berkenaan dengan  dua variasi warna iaitu Gold dan Rose Gold.

Model yang baru dilancarkan di Malaysia ini boleh dibeli secara atas talian di Mi Store yang terdapat pada laman beli belah atas talian, Lazada. Mula dikeluarkan pada November 2016 yang lepas, Redmin 4A hadir dengan skrin paparan HD 5 inci dan beroperasi menggunakan platform Android Marshmallow 6.0.1.  Selain itu ia diperkasa dengan cip Snapdragon 425 4-teras.

Xiaomi Redmi 4A juga didatangkan dengan memori dalaman 16GB  dan RAM 2GB. Untuk slot memori tambahan pula ia memberi sokongan kad mikroSD  sehingga 128GB.  Bahagian kamera terdiri daripada 13 megapiksel untuk kamera utama dan 5 megapiksel untuk kamera swafoto. Dikuasakan oleh bateri 3120mAh dengan standby time sehingga 7 hari, Redmi 4A akan dijual pada harga RM449 dengan waranti dari Mi Malaysia selama 1 tahun.

Untuk lebih berita tentang keluaran ini, anda boleh lawati Facebook Mi Malaysia.

Sumber: Facebook Mi Malaysia