Xiaomi Perkenal Mi Smart Compact Projector, Bakal Hadir Untuk Pasaran Malaysia

Pada acara dalam talian yang berlangsung semalam, Xiaomi telah melancarkan Redmi Note 9s. Selain Redmi Note 9s, Xiaomi turut mengumumkan Mi Smart Compact Projector yang bakal hadir untuk pasaran Malaysia. Sekali pandang, mungkin kelihatan seperti pembesar suara, namun ia adalah projektor dengan pelbagai fungsi menarik.

Mempunyai berat sekitar 1.3kg, Mi Smart Compact Projector ini tampil dengan saiz 15cm x 11.5cm. Ia didatangkan dengan 4 saluran LED yang dapat meningkatkan kecerahan lebih daripada 20%, bagi purata 500 ANSI Lumens (mod highlight) dan mempunyai jangka hayat sumber cahaya sehingga 30,000 jam.



Selain itu, projektor ini menyokong resolusi 1080p HD penuh dengan nisbah pancaran 1.2:1 serta boleh disesuaikan mengikut jarak pancaran dengan saiz skrin 60-120 inci. Mi Smart Compact Projector ini juga mempunyai sokongan Google Assistant secara terbina dengan 14 bahasa. Melengkapkan lagi projektor ini adalah sokongan Android TV 9.0 yang juga memberi akses kepada Netflix dan Youtube.

Mi Smart Compact Projector

Dengan pembesar suara 5W di bahagian kedua-dua sisi projektor ini, ia menggunakan sistem bunyi stereo dwi-trek serta menyokong sistem audio Dolby dan DTS. Bagi sambungan, ia hadir dengan port HDMI, port USB 2.0, bicu audio 3.5mm, Bluetooth serta sambungan WiFi dwi-band.

Mi Smart Compact Projector

Mi Smart Compact Projector bakal ditawarkan di Malaysia melalui Lazada pada 20 April ini dengan harga RM1,899.

Sumber: Xiaomi