Xiaomi Patenkan Rekaan Peranti Dengan Dwi-Kamera Swafoto Di Sisi Bawah Skrin

Beberapa bulan yang lalu, Xiaomi telah hadir dengan satu medium penyelesaian masalah takuk yang unik apabila meletakkan lensa kamera swafoto Mi Mix 2 dan 2S di sisi bawah skrin paparannya.

Kini, mereka dikatakan bakal tampil pula dengan tetapan kamera swafoto dua lensa yang dipasang pada kawasan yang sama.

Ia berikutan dua rekaan paten bagi sebuah peranti mereka yang telah didedahkan oleh LetsGoDigital baru-baru ini.


Kredit: LetsGoDigital

Satu daripadanya akan menggunakan kamera swafoto berkembar yang dipasang di bahagian tengah manakala satu lagi rekaan adalah lebih unik di mana dua lensa itu dipasang secara berasingan di bucu kanan dan kiri sebelah bawah peranti.

Walaubagaimanapun, seperti yang kita ketahui, rekaan paten adalah lebih kepada "perancangan" bagi sesebuah produk dan tidak semestinya dihasilkan sebagai satu produk akhir.

 

Sumber: GSMArena