Xiaomi, Oppo Tidak Mahu Ketinggalan Dari Menghasilkan Peranti Boleh Lipat

Kita telah dihidangkan tentang ura-ura sebuah peranti boleh lipat daripada Samsung sejak awal tahun ini. Beberapa bulan selepas itu, Huawei dengan berani menyatakan mereka yakin akan dapat menghasilkan peranti boleh lipat mereka lebih awal daripada syarikat Korea tersebut.

Namun, nampaknya bukan mereka sahaja yang menyimpan cita-cita untuk menjadi yang terawal mengeluarkan peranti dengan teknologi berkenaan. Ini kerana menurut laporan DigiTimes, Oppo dan Xiaomi turut mahu menyertai perlumbaan tersebut.


Kredit : GSMArena


Oppo sebelum ini telah mempatenkan satu rekaan bagi peranti mudah lipat mereka, seperti yang dilaporkan pada Januari yang lalu. Peranti berkenaan dikatakan akan menggunakan kamera utama dwi-lensa dan mempunyai bingkai yang sangat nipis.

Manakala bagi Xiaomi pula, ini kali pertama di mana satu laporan yang kukuh menyatakan mereka bersedia untuk membangunkan peranti boleh lipat mereka sendiri. Namun, berbeza dengan pesaing-pesaing mereka, Xiaomi dikatakan akan memfokuskan kepada pasaran China terlebih dahulu bagi memasarkan peranti tersebut.


Gambar hiasan (Kredit : Android Headlines)


Dua syarikat ini turut dilaporkan sedang mencari pembekal bagi bahan-bahan untuk menghasilkan peranti boleh lipat masing-masing. Tiga syarikat pembekal - BOE Industry, LG Display dan Visionox telah disebut-sebut untuk menjadi pilihan mereka.

Sekiranya laporan ini tepat, kita boleh menjangkakan peranti boleh lipat dengan harga yang lebih mampu milik. Untuk rekod, peranti yang akan dihasilkan Samsung akan dijual dengan harga di antara $1,788 - $2,652(~RM 7,268 - RM 10,780).

Sumber