Xiaomi Nafi Khabar Angin Mahu Buang Ciri Unlock Bootloader

Selain terkenal dengan harga berbaloi bersama spesifikasi yang baik, Xiaomi juga diminati ramai kerana memberi pilihan untuk menyahkunci bootloader.

Walaupun proses nyahkunci bootloader itu kadang-kala mengambil masa yang agak lama seperti berminggu-minggu, bahkan berbulan-bulan, ia tetap digemari kerana melaluinya pengguna boleh bertukar kepada sistem operasi Android yang diubahsuai.

Namun, minggu lalu terdapat khabar angin yang menyatakan kebolehan menyahkunci bootloader terbabit akan ditarik balik oleh pihak pengeluar.

Ia menimbulkan sedikit tanda tanya dan kekecewaan dalam kalangan peminat.

Xiaomi bertindak pantas dengan menafikan perkara tersebut di Twitter. Mereka menyatakan perkhidmatan nyahkunci bootloader masih ditawarkan dan meminta pengguna supaya tidak mempercayai berita palsu.