Xiaomi Mi Note 10 Pro Menewaskan Iphone 11 Pro Max Dalam Ujian Ketahanan Bateri

Baru-baru ini seorang pengulas gajet yang bernama Frankie Tech telah memuatnaik sebuah video ujian ketahanan bateri beberapa jenis telefon pintar.



Dalam ujian tersebut, beliau menguji 6 buah peranti antaranya ialah Redmi K30, Xiaomi Mi Note 10 Pro, Honor V30 5G, Xiaomi Mi 9T Pro, Google Pixel 4XL dan Iphone 11 Pro Max. Jika dilihat dari kapasiti bateri, Xiaomi Mi Note 10 Pro mempunyai kelebihan dengan mempunyai bateri berkapasiti 5260mAh.



Kesemua paparan peranti tersebut telah ditetapkan pada kecerahan maksimum dan akan diuji dengan membuka pelbagai aplikasi yang sama.



Setelah pelbagai aplikasi telah dimainkan kepada kesemua peranti seperti Youtube, Instagram, PUBG Mobile dan Antutu Benchmark, akhirnya Redmi K30 terkeluar dari ujian dengan hanya mampu bertahan selama 6 jam 20 minit. Ia agak mengejutkan bagi peranti terbaru keluaran Redmi ini yang mempunyai bateri berkapasiti 4500mAh.



Seterusnya ialah giliran Honor V30 5G terkeluar dari ujian dengan hanya mampu bertahan selama 6 jam 32 minit. Peranti terbaru dari honor ini mempunyai bateri berkapasiti 4200 mAh.



Giliran Google Pixel 4XL pula terkeluar dari ujian dengan hanya mampu bertahan selama 7 jam 6minit. Ini merupakan sesuatu yang agak mengejutkan kerana Google Pixel 4XL mampu bertahan lebih lama dari Redmi K30 dan Honor v30 5G walaupun ia hanya mempunyai bateri berkapasiti 3700mAh.



Xiaomi Mi 9T Pro mendapat tempat ketiga dengan mampu bertahan selama 8 jam 46 minit. Agak mengagumkan buat peranti ini kerana mampu bertahan lebih lama berbanding Redmi K30 yang baru sahaja dilancarkan.



Iphone 11 Pro Max berjaya mendapat tempat kedua dalam ujian ini dengan mampu bertahan selama 9 jam 22 minit. Ia merupakan suatu peningkatan dari pihak Apple dan menunjukkan kecemerlangan cip A13 Bionic kerana peranti ini hanya mempunyai bateri berkapasiti 3969 mAh sahaja.



Akhirnya, seperti yang dijangka, Xiaomi Mi Note 10 Pro menjadi juara dalam ujian bateri Frankie Tech dengan mampu bertahan selama 11 jam 58 minit jauh meninggalkan pencabar terdekat iaitu Iphone 11 Pro Max.

Kesimpulannya, agak mengejutkan apabila dua peranti yang menggunakan paparan LCD terkeluar lebih awal berbanding peranti yang menggunakan paparan OLED. Bagi Redmi K30 berkemungkinan paparan 120Hz yang digunakan menjadi sebab berlaku penurunan bateri dengan cepat.

Sumber : Frankie Tech