Xiaomi Mi Note 10 - Apa Lagi Yang Best Selain Kamera 108MP?

Xiaomi Mi Note 10 baru sahaja dilancarkan beberapa minggu lalu dan kebanyakan perhatian diberikan kepada kamera utamanya yang bersaiz 108MP. Namun, tidak dilupakan juga terdapat banyak lagi fungsi lain selain lensa 108MP tersebut.



Untuk itu, mari kita meneroka dan menjelajah peranti ini dengan lebih dekat untuk melihat fungsi-fungsi menarik lain yang terdapat pada Mi Note 10 ini.

Vlog Mode Untuk Suntingan Video Ala Professional


Bersama-sama dengan Mi Note 10, Xiaomi juga menyertakan fungsi Vlog Mode. Dengan Vlog Mode, pengguna boleh menyunting gambar dalam stail vlog dengan pantas hanya perlukan beberapa klik sahaja.



Terdapat 7 preset unik yang boleh dipilih dan setiap satunya mempunyai muzik berbeza. Sebelum anda mahu menangkap video, anda juga boleh melihat terlebih dahulu previu preset vlog. Selain itu, previu itu juga akan memaparkan maklumat mengenai berapa banyak video yang diperlukan dan juga berapa lama vlog tersebut akan dipaparkan.

Vlog Mode ini sangat senang untuk digunakan. Ini adalah sampel video Vlog Mode yang saya hasilkan sendiri.


Sokongan Fail Jenis RAW Tingkatkan Kualiti Suntingan Gambar


Jika anda mahukan kepuasan yang lebih ketika menangkap gambar, Mi Note 10 juga turut menyokong fail jenis RAW.



Berbanding dengan fail JPEG, format RAW menyimpan lebih banyak maklumat. Ini bermaksud jika anda menyunting gambar pada format RAW, suntingan gambar akan menjadi lebih fleksibel dengan kualiti gambar yang jauh lebih baik berbanding format JPEG biasa.

Untuk mengaktifkan fungsi fail RAW, pengguna perlu menukarnya pada mod Pro dalam aplikasi kamera. Namun, ia hanya menyokong 3 jenis tangkapan, iaitu, lensa utama, ultralebar, dan juga makro. Untuk lensa 2MP dan juga 5MP telefoto, fail RAW masih belum disokong lagi.


Rakaman Super Stabil Dengan Dwi-OIS


Walaupun fungsi-fungsi menangkap gambar diberi keutamaan, rakaman video juga turut tidak dilupakan. Mi Note 10 mempunyai dua OIS yang dimuatkan pada lensa utama 108MP dan juga lensa telefoto 5MP.



Menambah lagi kepada fungsi menarik rakaman video, peranti juga dimuatkan dengan ciri Super Stabilization. Jika tangan anda ketika merakam mudah bergegar, anda digalakkan untuk menghidupkan fungsi ini.



Super Stabilization dipadankan dengan perkakas OIS, ia semestinya mampu menghasilkan video yang super stabil dan lancar.


Penutup


Melihat kepada penawaran perkakas yang diberikan pada Xiaomi Mi Note 10, peranti ini dilihat jelas sasarannya bukan sahaja untuk tangkapan gambar, tetapi juga rakaman video. Boleh kata, cukup sesuailah kalau nak bagi kepada pengguna yang mahukan kedua-dua gambar dan juga video lengkap sebagai keperluan mereka.

Mi Note 10 dikuasakan oleh cip Snapdragon 730G yang menyeimbangkan di antara penjimatan tenaga dan juga prestasi berkuasa. Peranti ini dijual pada harga RM2099 (RAM 6GB/128GB). Namun terdapat juga Mi Note 10 Pro yang mempunyai konfigurasi memori lebih banyak (RAM 128GB/256GB) yang dijual pada harga RM2499.

Pembelian boleh dibuat melalui kedai atas talian Lazada serta Shopee untuk Mi Note 10. Manakala untuk Mi Note 10 Pro, peranti boleh dibeli melalui Lazada dan Shopee.

Untuk maklumat lanjut mengenai peranti ini, anda boleh layari laman rasmi Xiaomi Malaysia melalui pautan ini.