Xiaomi Mi MIX 2S Diperkenalkan Dengan Cip Pemprosesan Qualcomm Snapdragon 845

Syarikat teknologi gergasi global, Xiaomi pada 24 Mei yang lalu telah memperkenalkan peranti terbaru mereka, Xiaomi Mi MIX 2S buat pasaran tempatan. Peranti ini merupakan penyambung legasi bagi peranti terdahulu iaitu Mi MIX 2.



Berbeza dengan peranti Mi MIX 2, peranti terbaru ini kini dilengkapi dengan kamera utama dwi-lensa. Ia menggabungkan dua lensa 12MP pada kamera belakang dan menggunakan lensa 5MP sebagai kamera swafotonya.

Selain itu, peranti ini bakal hadir dengan cip pemprosesan tercanggih daripada Qualcomm, Snapdragon 845 yang sering digunakan pada peranti kelas perdana yang lain. Ia akan disokong oleh memori 6GB RAM serta dua pilihan ruang storan iaitu 64GB dan 128 GB.



Dari segi paparan skrin pula, Mi MIX 2S akan menggunakan skrin IPS LCD 5.99 inci dengan resolusi definisi tinggi penuh. Ia juga bakal disokong oleh bateri berkapasiti 3,400 mAh yang boleh menggunakan fungsi pengecasan pantas, Quick Charge 3.0.

Harga jualan yang dicadangkan buat pasaran Malaysia ialah pada RM 1,999 untuk storan 64GB ROM, manakala untuk storan 128GB ROM pula, harga yang dicadangkan ialah pada RM 2,199.