Xiaomi Mi Max 3 Pro Pula Tersenarai Pada Laman Sesawang Qualcomm

Xiaomi baru-baru ini telah mengesahkan bahawa peranti naiktaraf bagi model Mi Max 3 akan diperkenalkan sebagai Mi Max 3 Pro. Bagaimanapun, mereka tidak memberi penjelasan lanjut berkenaan peranti tersebut semasa pengumuman itu.

Namun, menurut laporan terkini, Xiaomi Mi Max 3 Pro telah disenaraikan pada laman sesawang Qualcomm dimana ia dilaporkan akan menggunakan cip pemprosesan terkini syarikat berkenaan iaitu Snapdragon 710. Ia turut digunapakai oleh peranti Xiaomi Mi 8 SE sebelum ini.

Kredit : Playfuldroid


Selain daripada maklumat berkaitan sistem cip berkenaan, tiada maklumat lanjut tentang peranti Mi Max 3 Pro didedahkan pada penyeneraian tersebut. Menurut laporan, Mi Max 3 Pro akan mempunyai ciri yang hampir sama dengan model Mi Max 3.

Xiaomi Mi Max 3 hadir dengan skrin sebesar 6.9 inci serta bateri berkapasiti 5,500 mAh. Ia juga akan dijalankan dengan antaramuka MIUI 9.5 yang berlandaskan Android 8.1 Oreo serta dijana dengan memori 6GB RAM. Bagi cip pemprosesan pula, Mi Max 3 menggunapakai cip Snapdragon 636, lebih rendah berbanding Mi Max 3 Pro.

Ia sekaligus memberikan gambaran bahawa Mi Max 3 Pro akan dijual pada harga yang lebih tinggi daripada Mi Max 3. Mi Max 3 dijual pada harga 1,699 Yuan(~RM 1,014) bagi model 4GB + 64GB dan 1,999 Yuan(~RM 1,192).

Sumber