Xiaomi Mi 8 Peranti Kelas Perdana Dengan Nilai Optimum Untuk Pertengahan Tahun Ini

Itu merupakan satu kenyataan dari salah satu sumber industri di China yang beranggapan peranti perdana Xiaomi seterusnya akan menjadi peranti paling kos efektif untuk tempoh 6 bulan tahun ini.

Ini kerana Xiaomi Mi 8 dijangka akan dijual pada harga permulaan RM 1,751 ($440) berbanding peranti OnePlus 6, peranti kelas perdana yang paling murah setakat ini pada harga RM 2,109 ($530).

Untuk harga tersebut, Xiaomi Mi 8 akan dikuasakan dengan cip Snapdragon 845 bersama-sama ruang RAM 6GB dan ROM 64GB.

Peranti tersebut akan dipasarkan sebagai Mi 8 kerana menyambut ulang tahun Xiaomi ke-8 dalam industri ini yang disambut pada bulan April yang lepas. Xiaomi Mi 8 dikatakan akan menjadi peranti Android pertama yang dilengkapi dengan sistem kamera 3D yang berkemampuan untuk mengesan ruang kedalaman atau bahasa mudahnya adalah untuk tujuan pengecaman wajah sama seperti iPhone X.



Mi 8 juga akan menyokong sistem pengecasan pantas Qualcomm 4.0 yang telah wujud untuk peranti Android lain seperti Nubia Z17, Razer Phone dan HTC U12 Plus. Xiaomi dikhabarkan akan melancarkan perati Xiaomi Mi 8 ini di China pada 31 May ini.