Xiaomi Mi 8 Explorer Terima Kelulusan TENAA, Bakal Dilancarkan Ke Pasaran Tidak Lama Lagi

Xiaomi Mi 8 telah dilancarkan ke pasaran kira-kira dua bulan yang lepas dan telah terjual lebih dari satu juta unit setakat hari ini. Ini dibantu oleh populariti Xiaomi sebagai pengeluar yang mampu menyediakan peranti dengan spesifikasi terkini tanpa perlu mengosongkan dompet pengguna.

Mi 8 Explorer Edition turut diperkenalkan dalam majlis yang sama, namun peranti ini masih lagi belum mula dijual sehingga hari ini. Namun, ia mungkin akan berubah tidak lama lagi selepas peranti ini telah menerima kelulusan dari pihak TENAA untuk mula dipasarkan.



Peranti ini telah muncul di laman TENAA menggunakan nombor model M1807E8S dengan keseluruhan spesifikasi dan reka bentuk peranti telah disenaraikan bersama. Menurut GizmoChina, model ini berkemungkinan besar akan mula dijual di pasaran China dalam bulan ini.

Apa yang menyebabkan peranti ini ditunggu-tunggu ialah reka bentuk panel belakang lutsinarnya. Ia akan menampakkan komponen dalaman peranti seperti cip pemprosesan Snapdragon dan bateri dengan rekaan tekstur Kevlar.

Walaubagaimanapun, ia bukanlah komponen sebenar yang digunakan oleh Mi 8 Explorer ini. Ia hanyalah komponen palsu yang dipasang di atas papan induk peranti sahaja. Tetapi, bukan itu sahaja keistimewaan yang ada pada peranti ini.



Xiaomi turut menggunakan teknologi pengimbas cap jari dalam skrin dan pengesan wajah 3D bagi sistem nyahkunci. Untuk pengetahuan, Xiaomi Mi 8 Explorer Edition adalah merupakan peranti Android pertama yang mempunyai sistem pengesanan wajah sedemikian.

Antara spesifikasi lain peranti ini, ia akan hadir dengan skrin AMOLED 6.21 inci dengan rekaan FHD+ serta dikuasakan dengan bateri berkapasiti 2,900 mAh. Selain itu, peranti ini akan menggunakan cip Snapdragon 845, dwi-kamera utama 12MP+12MP dan kamera hadapan 20MP.


Kredit : Engadget


Ia juga mungkin akan dijalankan dengan antaramuka MIUI 10 berlandaskan Android 8.1 dan bakal hadir dengan tanda harga 3,699 Yuan(~RM 2,241) bagi variasi 8GB RAM dengan storan dalaman 128GB. Xiaomi turut dilaporkan akan memperkenalkan dua variasi lain untuk peranti ini nanti.

Sama-sama kita tunggu pengumuman rasmi dari pihak Xiaomi dalam masa terdekat berkenaan perkara ini.

Sumber