Xiaomi Mi 10 Ultra merupakan telefon pintar pertama yang dilengkapi dengan ciri pengecasan pantas 120W. Namun begitu, telefon ini terhad di pasaran China dan tidak dijual secara rasmi di Malaysia.
Satu ujian pengecasan telah dijalankan oleh Android Authority untuk mengetahui sepantas manakah Mi 10 Ultra mengecas menggunakan pengecas 120W tersebut.
Mereka mendapati Mi 10 Ultra tidak mengecas sepantas 120W yang diiklankan oleh Xiaomi sebaliknya hanya 80W sahaja.
Melalui ujian tersebut, ia hanya mengambil masa 21 minit sahaja untuk penuh dari kosong sementara kuasa yang diterima pada 80.1W.
Untuk suhu pula, pada 80W ia mencatat suhu yang agak tinggi dan tidak sihat iaitu 43.8°C. Jika kuasa mengecas lebih tinggi dari 80W, sudah tentu suhunya akan lebih tinggi.
Walau bagaimanapun, telefon itu tidaklah mengecas 80W sepanjang masa. Ketika mencapai 70% bateri, suhunya berkurang disebabkan ia tidak lagi mengecas dengan kelajuan 80W.
80W tidak dinafikan jauh lebih pantas dari kebanyakan telefon pintar yang ada pada muka bumi ini. Namun, jika Xiaomi sendiri sudah pasti menggunakan 80W pun sudah menjadikan telefon agak panas, mengapa perlu mengiklankan pengecasan menjadi 120W?
Sumber: Android Authority