Xiaomi Mi 10 Pro - Harga Keras Tetapi Kamera Terbaik

Ingat dahulu sewaktu Xiaomi Mi 3 mula dipasarkan di Malaysia? Rasanya ramai yang mula beralih arah kepada model tersebut. Salah satu sebab adalah kerana statusnya sebagai flagship dengan spesifikasi tinggi serta ditawarkan pada harga yang berbaloi, pada waktu itu.

Kemudian, digantikan pula dengan model-model seperti Mi 4, Mi 5, Mi 6, Mi 8 sehinggalah ke Mi 9. Bagi Mi 9 pula, ia diletakkan pada harga RM1999 dan sekali lagi menjadi perhatian kerana menyediakan Snapdragon 855 pada paras bawah RM2000. Ia menjadi buruan berbanding model setaraf lain yang dijual pada nilai lebih tinggi.



Jika diteliti kembali pada Mi 9, walaupun berstatus flagship ia dirasakan masih belum cukup lengkap. Contohnya pada prestasi kamera yang sedikit kurang memuaskan pada ketika itu.

Tetapi, dengan datangnya Mi 10 Pro 5G untuk tahun 2020 ini, ia mampu membuatkan anda melupakan kelemahan yang ada model sebelumnya.

mi 10 pro

Bercerita tentang Mi 10 Pro 5G, ia merupakan telefon pintar Xiaomi yang paling mahal saat artikel ini ditulis (tolak tepi Mi Mix Alpha kerana ia hanya dikeluarkan dalam skala yang kecil untuk China sahaja).

Dijual pada harga rasmi RM3899, apakah sebab utama Xiaomi tidak boleh mengikut tren pemasaran tahun-tahun sudah? Mari ikuti kupasan Mi 10 Pro 5G.
Spesifikasi


  • Snapdragon 865

  • RAM 8GB LPDDR5

  • Storan 256GB UFS 3.0

  • Kamera belakang 108MP (f.169), 8MP (f2.0), 12MP (f2.0) dan 20MP (f2.2)

  • Kamera hadapan 20MP

  • Skrin paparan 6.67 AMOLED

  • Bateri 4500mAh dengan pengecas 65W

  • Sistem antaramuka MIUI 11 berasaskan Android 10


Rekaan

Kita mulakan dahulu dengan rekaan. Secara zahirnya Mi 10 Pro dilahirkan dengan saiz lebih besar berbanding Mi 9. Seberat kira-kira 200g, ia terasa solid dalam genggaman tangan.

mi 10 pro

Sisi kanan diletakkan dengan butang kuasa, pelaras kelantangan bunyi sementara kiri dibiarkan bersih tanpa sebarang butang. Disebelah bawah pula terdapat slot kad dwi SIM, port pengecasan USB-C, mikrofon dan pembesar suara.

mi 10 pro

Ciri yang biasa kita lihat pada peranti Xiaomi, IR Blaster diletakkan pada sisi atas peranti bersama-sama dengan pembesar suara kedua. Ini bermaksud Mi 10 Pro 5G didatangkan dengan ciri pembesar suara stereo. Berdasarkan pengalaman kami menggunakannya, audio yang dihasilkan adalah antara yang terbaik.

mi 10 pro

Rasa besar, rasa berat tetapi lengkung-lengkung pada sisi membuatkan pegangan tangan lebih selesa. Namun disebabkan saiznya sedikit panjang, anda yang bertangan kecil mungkin sedikit payah untuk menyentuh paparan pada bahagian atas.

Panel belakang peranti kelihatan premium dengan binaan daripada kaca kemasan matte. Kesan cap jari samar-samar kelihatan dan lebih elok lagi gunakan sarung pelindung yang disediakan. Ini kerana binaan ini mempunyai permukaan yang sangat licin dan apabila diletakkan didalam poket seluar, ia mudah menggelungsur keluar.
Paparan AMOLED

Berbalik semula pada skrin paparan, peranti ini dipasang dengan skrin AMOLED berukuran 6.67 inci dengan TrueColor. Menguatkan lagi penawaran bahagian ini adalah kadar segar semula 90Hz. Kandungan yang dipancarkan pada skrin kelihatan jelas serta terang dan tiada sebarang keluhan sepanjang penggunaannya.

amoled mi 10 pro
Tiada masalah pada prestasi

Berkenaan dengan sisi lengkung, ia memang selesa dan tiada masalah sentuhan yang tidak disengajakan. Tetapi bagi pengguna yang jenis teliti, pasti menyedari kehadiran isu peralihan warna atau colour shifting pada bahagian itu. Namun pengguna biasa mungkin tidak ambil pusing mengenainya kerana ia tidaklah menganggu tontonan secara keseluruhan.

mi 10 pro

Prestasi untuk penggunaan seharian tidak mendatangkan masalah. Buka apa sahaja aplikasi, sama ada suntingan mahupun permainan, semuanya berjalan dengan lancar. Ini adalah hasil daripada penggunaan Snapdragon 865 cip mudah alih flagship terbaharu daripada Qualcomm.

mi 10 pro

Turut menghidangkan sokongan 5G secara terbina, ia juga menyokong memori LPDDR5 dengan kapasiti 8GB serta storan jenis UFS 3.0 sebesar 256GB. Sistem penyejukan peranti juga bagus. Sewaktu bermain aplikasi permainan, panel belakang terasa suam tetapi tidak langsung menjejaskan prestasi peranti.
Sokongan pengecasan pantas 50W

Sebelum terlupa, jika anda membuat keputusn untuk membeli Mi 10 Pro 5G, kotak bungkusan mengandungi sarung pelindung, kabel pengecasan serta pengecas 65W. Mudah kata, anda boleh gunakannya untuk mengecas peranti lain yang menyokong Power Delivery (PD).

Namun anda perlu tahu bahawa, peranti hanya mampu menerima daya 50W sahaja walaupun pengecasan yang dibekalkan adalah 65W. Dimuatkan dengan bateri berkapasiti 4500mAh, masa yang diambil untuk pengecasan dari 0% sehingga 100% adalah sekitar 45 minit hingga 50 minit. Bukan sahaja jimat masa mengecas malah ia mampu bertahan seharian tanpa sebarang penurunan kuasa yang ketara. Tetapi bergantung juga kepada gaya penggunaan anda.

Selain pengecasan berwayar, keluaran Xiaomi ini juga dilengkapi dengan pengecasan tanpa wayar 30W serta pengecasan berbalik tanpa wayar. Ini bermakna anda boleh "mendermakan" kuasa pada peranti lain.

Dari segi sekuriti biometrik, anda diberikan pilihan antara imbasan cap jari serta imbasan wajah. Kedua-duanya beraksi baik dan pantas dalam membuat imbasan. Tiada sebarang masalah pada fungsi ini.
Sistem antaramuka MIUI 11

Perlu diingatkan bahawa peranti tidak mempunyai sebarang pensijilan IP. Bermaksud anda perlu berhati-hati ketika penggunaan di kawasan berair. Untuk sistem operasi, ia dipasarkan dengan sistem MIUI 11 berasaskan Android 10 dan sudah pasti akan menerima naik taraf kepada MIUI 12 tidak lama lagi. Ia sarat terpasang dengan aplikasi dan fungsi yang biasa anda lihat pada sistem antaramuka itu.



 
Tetapa kamera terbaik

Kita ke bahagian yang paling dinanti-nantikan iaitu keupayaan kamera. Mi 10 Pro 5G dipersenjatakan dengan tetapan kuad kamera. Terdiri daripada 108MP, kamera ultra lebar 20MP, kamera telefoto 12MP dan 8MP.

kamera belakang mi 10 pro

Melihat kepada senarai yang dikeluarkan oleh DxOMark, Mi 10 Pro 5G diletakkan pada kelompok 5 teratas (sewaktu artikel ditulis). Jadi, pastinya gabungan empat lensa itu mampu memberikan hasil yang bukan sahaja memuaskan hati, tetapi pada tahap yang cemerlang.

dxo mark xiaomi mi 10 pro

Untuk dipendekkan cerita, rakam sahaja segala gambar pada apa-apa situasi sekalipun, ia berupaya menghadirkan imej yang sangat baik. Sebagai contoh, rakaman sudut ultra lebar, penghasilan warna dan kawalan HDR beraksi sangat cemerlang.

Jarak dinamik yang tinggi juga boleh dilihat disamping perincian yang tinggi pada imej. Penggunaan telefoto 50mm pula mampu memisahkan subjek dan latarbelakang dengan sangat kemas.

Satu lagi situasi rakaman yang mencabar kamera pada peranti adalah ketika kurang pencahayaan seperti malam. Mod malam yang ada pada Mi 10 Pro 5G juga boleh dikelaskan antara yang terbaik.

Sekali lagi, mudah kata kelengkapan kamera yang ditawarkan oleh Xiaomi pada model flagship baharu ini mampu mengujakan sesiapa sahaja yang menggunakannnya. Namun, buruk baik setiap rakaman itu bergantung juga kepada cara pengguna.

punch hole
Kamera hadapan 20MP

Kamera 20MP telah ditugaskan untuk merakam bahagian hadapan. Sensor tersebut ditempatkan pada rekaan berlubang yang berada dipenjuru kiri paparan. Sepanjang penggunaan, kami sukakan kualiti gambar yang dihasilkan dimana HDR berfungsi dengan bagus.

Rakaman swafoto potret menampilkan kesan kabur yang sedikit keterlaluan, mungkin bagi sesetengah pengguna. Tetapi rakaman swafoto biasa sudah cukup cantik dimata. Jelas dengan perincian dan cukup sifat. Boleh tonton video untuk sampel gambar dari Mi 10 Pro.

https://www.youtube.com/watch?v=DhBZO2QOOiI&t=634s

Jadi, sekarang mungkin sekarang anda sudah jelas mengapa tanda harga RM3899 diletakkan pada peranti ini. Xiaomi dilihat berusaha keras untuk memberikan pengalaman kamera terbaik pada pengguna, disamping menempatkan Mi 10 Pro ini dalam kalangan telefon pintar premium pilihan.

Cakap-cakap seperti kamera siri Mi kurang memuaskan, gambar kurang tajam dan sewaktu dengannya mungkin tidak akan kedengaran lagi selepas ini.
Patutkah dijual pada harga yang begitu keras?

Adakah selayaknya ia dijual pada tanda harga 'sekeras' itu? Pendapat kami ya, memandangkan prestasi kameranya yang cukup menaikkan nafsu. Tidak salah rasanya untuk melabelkan ia sebagai model terbaik yang pernah Xiaomi hasilkan dan salah satu kamera pada peranti yang terbaik untuk tahun 2020 ini.

Kita juga tidak boleh ketepikan fakta bahawa Mi 10 Pro sebuah peranti yang mahal kerana pengguna sudah terbiasa dengan penawaran siri Mi sebelum ini. Sejak dari model terawal lagi, ia dipasarkan dengan spesifikasi baik tetapi pada harga lebih mampu milik berbanding model dari jenama yang lain.
Peranti alternatif

Mungkin anda tidak perlukan sangat keupayaan kamera sebagus ini, tidak perlukan juga pengecasan pantas 50W, tidak perlukan audio stereo, tetapi masih mahu mengekalkan prestasi skrin paparan yang hampir sama? Mi 10 mungkin alternatif yang boleh anda dapatkan.

xiaomi mi 10 pro alphine white

Harganya jauh lebih murah berbanding versi Pro iaitu RM2799 perbezaan sehingga RM1100. Melalui Mi 10 Pro 5G, Xiaomi mungkin menyasarkan golongan pengguna yang dahagakan prestasi keseluruhan lebih baik, dan bukan hanya gah pada cip pemprosesan tetapi ahhh pada spesifikasi lain.

Beli Xiaomi Mi 10 dan Mi 10 Pro dari:

Lazada (https://invol.co/cloofe)

Shopee (https://invol.co/clooff)