Xiaomi Mengesahkan Pelancaran Cip Pemproses Sendiri Bernama Pinecone Pada 28 Februari Ini

Syarikat pengeluar telefon pintar gergasi seperti Samsung dan Apple masing-masing memiliki cip SoC sendiri. Samsung dengan “Exynos”, Apple dengan “A” siri, dan Huawei dengan “Kirin”. Kini Xiaomi mengesahkan akan menjadi jenama telefon ke-4 yang bakal menyertai liga eksklusif ini tidak lama lagi.

Xiaomi bakal memperkenalkan SoC mereka sendiri yang digelar sebagai ‘Pinecone’ pada 28 Februari ini sewaktu MWC 2017. Sebenarnya berita tentang cip pemproses Xiaomi ini sudah lama diperkatakan, sejak pertengahan tahun lepas lagi.

Mereka akan berkerjasama dengan syarikat Leadcore yang akan membantu dalam pembinaan cip Pinecone ini. Xiaomi bakal menjadi pengeluar telefon pintar Cina yang kedua selepas Huawei yang memiliki unit pemprosesan sendiri.

xiaomi-pinecone-805x577

Ketika ini Xiaomi menggunakan cip Qualcomm dalam beberapa telefon mereka, tetapi Xiaomi mahu beralih daripada Qualcomm atas beberapa sebab. Yang utama adalah disebabkan Samsung telah dilaporkan membolot kesemua cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 835, menyebabkan syarikat lain terpaksa menggunakan cip versi yang lebih tua seperti Snapdragon 821.

LG dan HTC juga terpaksa berbuat demikian dengan G6 LG dan HTC U Ultra yang dijangka dimuatkan dengan Snapdragon 821. Jadi tidak hairanlah jika Xiaomi mengorak langkah dengan membangunkan cip sendiri.

Dengan cip pemproses sendiri, Xiaomi juga mampu menggurangkan kos disamping mempercepatkan pembinaan telefon pintar mereka tanpa perlu bergantung kepada syarikat pemproses yang lain.

Sumber