Xiaomi Malaysia Sedang Bersiap-Siap Untuk Membawa Masuk Mi 9T Pro

Persoalan serta penantian peminat Xiaomi Mi 9T Pro nampaknya bakal berakhir dimana Xiaomi Malaysia sudah mula menguar-uarkan kedatangan model tersebut.



Diperkenalkan di China beberapa bulan lalu, model yang dijenamakan semula daripada siri Redmi K20 itu mula memasuki pasaran tempatan menerusi model Mi 9T pada 20 Jun lalu.

Redmi K20 Pro hadir dengan spesifikasi seperti skrin paparan 6.39 inci, kamera hadapan terangkat 20MP, tiga kamera belakang 48MP + 8MP + 13MP, bateri 4000mAh dengan pengecasan pantas 27W. Menjana dari dalam adalah Snapdragon 855 dan digandingkan bersama RAM antara 6GB hingga 8GB serta memori simpanan bermula 64GB sehingga 256GB.

Mi 9T Pro telah dijadualkan pelancaran global pada 20 Ogos ini dan dijangka akan membawakan spesifikasi sama.

Untuk pasaran tanah air, Xiaomi Malaysia masih belum mengumumkan sebarang tarikh dan untuk itu, sama-sama kita nantikannya.