Xiaomi Lancar Mi Powerbank 2 Dilengkapi Dengan USB Type-C





Pada artikel sebelum ini Xiaomi dilapor bakal mengeluarkan sebuah powerbank yang akan dilengkapi dengan USB Type-C dan pada minggu lepas ianya telah dilancarkan. Xiaomi secara rasminya telah melancarkan Xiaomi Powerbank 2 yang dilengkapi dengan dua slot iaitu slot USB Type-C dan juga slot micro USB.







Syarikat itu menjelaskan bahawa powerbank terbaru keluaran mereka menggunakan bateri 10,000 mAh litium polimer berketumpatan tinggi yang lebih baik dari model powerbank sebelum ini. Powerbank 2 ini juga lebih nipis daripada model-model yang terdahulu.







Untuk produk terbaru dari Xiaomi ini, ia berkapasiti sebesar 10,000 mAh. Kelajuan input pengecasan adalah 5V2A dan boleh dikekalkan sehingga 9V/12V dengan kuasa maksimum 18W. Manakala untuk nilai ouput bagi Mi Powerbank 2 adalah 5.1V 2.4A dan mampu menyokong sehingga 9V/12V dengan kuasa maksimum 15W.







Apa yang menarik untuk powerbank baru ini ialah ia menyokong pengecasan pantas bagi kedua-dua slot USB Type-C dan juga microUSB. Selain daripada itu, Mi Powerbank diperbuat daripada aloi aluminium dan direka selesa untuk dipegang oleh pengguna. Ia juga hadir dengan 4 lampu LED yang akan menyala untuk mengukur jangka hayat bateri powerbank tersebut.



Powerbank ini merupakan model kelima keluaran syarikat dari China itu dimana 4 model sebelum ini berjaya menarik minat pengguna untuk membeli. Antara model powerbank keluaran lepas adalah Slim 5000mAh (RM39), Essential 10,000mAh (RM59), SuperSized 16,000mAh(RM89) dan juga powerbank berkapasiti 20,000mAh (RM99). Anda boleh mendapatkan powerbank keluaran Xiaomi dari laman web rasmi Mi Malaysia. Powerbank Xiaomi menggunakan gabungan teknologi bateri dari syarikat terkemuka LG dan Samsung.



Mi Powerbank 2 dijangka di jual pada harga ~RM 50 dan terdapat dua pilihan warna iaitu kelabu gelap dan warna perak.



Sumber: Mdroid

Berkaitan