Xiaomi Lancar Lebih 500 Cawangan Baru, Cipta Rekod Dunia Guinness

Xiaomi sebelum ini telah beberapa kali mengulangi pendirian mereka untuk memperluaskan lagi pasaran luar talian mereka. Pendirian itu terbukti diambil serius apabila mereka telah membuka lebih 500 gedung luar talian baharu di India pada 29 Oktober yang lalu.

Perkara itu sekaligus menjadikan mereka sebagai pemegang Rekod Dunia Guinness bagi pembukaan cawangan terbanyak dalam masa satu hari.

https://twitter.com/XiaomiIndia/status/1064793229504192513

Menurut satu kicauan di Twitter Xiaomi India, pembukaan besar-besaran itu adalah sebagai tanda permulaan bagi model perniagaan baru Xiaomi. Mereka menyasarkan untuk membuka 5,000 kedai baru dan menggajikan sekurang-kurangnya 15,000 pekerja di India.

Ini berkait rapat dengan keputusan kajian pasaran suku ke-tiga 2018 yang dibuat oleh IDC baru-baru ini. Dalam laporan kajian berkenaan, Xiaomi didapati menguasai 27.3% pasaran India, lebih tinggi berbanding mana-mana pengeluar lain. Samsung yang sebelum ini menguasai negara tersebut  jatuh ke tangga kedua dengan penguasaan pasaran sebanyak 22.6%.

Bermula pada penghujung tahun lalu, Xiaomi juga rancak menembusi beberapa pasaran baru di Eropah seperti Itali, Sepanyol dan England. Ia sekaligus membolehkan lebih ramai pelanggan menikmati sendiri layanan berstatus "flagship" daripada mereka di gedung-gedung Mi Store yang disediakan.

 

Sumber: Xiaomi India