Xiaomi CC9 Pro Dengan Kamera 108MP Dan Lensa Optikal 5X Akan Dilancarkan Minggu Hadapan

Siri model Xiaomi CC9 telah diperkenalkan Julai lalu dan nampaknya Xiaomi ingin menambah versi Pro yang lebih berkuasa. Peranti tersebut, Xiaomi CC9 Pro akan membawakan teknologi baharu dengan sensor kamera utama sebesar 108MP daripada Samsung.

Melalui gambar acah, ia juga bakal hadir dengan 5 kamera belakang yang disusun secara menegak dengan salah satunya mempunyai keupayaan zum optikal 5X. Dengan penawaran tersebut, ia menyamai peranti Huawei P30 Pro dan juga Oppo Reno 10X. Peranti juga akan menggunakan 4 LED flash.



Sensor 108MP tersebut mampu untuk merakam gambar bersaiz 12032x9024 pixel dan merekod sehingga resolusi 6K pada 30fps. Menggunakan teknologi Tetracell, sensor tersebut boleh menggabungkan 4 pixel berdekatan untuk menjadikan satu imej 27MP yang lebih cerah untuk situasi low-light.

Anda boleh melihat sampel-sampel gambar perkongsian Xiaomi di bawah yang diambil menggunakan peranti tersebut.



Spesifikasi yang dikhabarkan adalah 6.4 inci FHD+ AMOLED dengan takuk waterdrop dan juga pengimbas cap jari di dalam skrin. Ia bakal dijana oleh Snapdragon 730G, 6GB RAM serta 128GB storan. Bateri pula 4,000mAh dengan pengecasan pantas 20W.

Selain gambar acah rasmi tersebut, tiada spesifikasi lain yang diberitahu. Xiaomi CC9 Pro bakal dilancarkan pada 5 November bersama-sama Mi Watch nanti.