Xiaomi Black Shark 2 Tersenarai Di TENAA, Dilengkapi Cip Snapdragon 845

Industri permainan video mudah alih kini kian hangat dengan adanya beberapa telefon pintar yang direka khas untuk tujuan tersebut di pasaran hari ini. Bermula dengan Razer Phone, Xiaomi Black Shark, Asus ROG Phone dan banyak lagi.

Yang terbaru, Xiaomi Black Shark pula dilihat telah mula menerima penyenaraian TENAA. Merujuk kepada penyenaraian tersebut, peranti ini dilaporkan akan kekal menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 845.

Kredit : mysmartprice


Sekiranya laporan itu tepat dan rasmi, ia agak mengecewakan kerana sebelum ini terdapat ura-ura yang menyatakan peranti ini akan menjadi antara model terawal yang menggunakan Snapdragon 855.

Selain itu, kamera utama peranti ini akan kekal menggunakan dwi-lensa, namun dipasang secara menegak berbanding melintang pada edisi sebelum ini. Bagaimanapun, maklumat mengenai sensor kamera masih belum didedahkan.

Spesifikasi lain yang turut dilaporkan ialah penggunaan memori 8GB RAM, bateri berkapasiti 4,000 mAh serta skrin paparan bersaiz 5.99-inci, sama seperti generasi terdahulu. Menurut penyenaraian TENAA, peranti ini dijangka diperkenalkan pada suku terakhir tahun ini.

 

Sumber