Xiaomi Band 7 Pro Hadir Dengan Sokongan GPS Dan 'Always-On-Display'

Xiaomi semalam turut sama melancarkan satu produk baharu iaitu Xiaomi Band 7 Pro.

Seperti namanya, ada beberapa penambahan disertakan termasuklah perubahan reka bentuk.

Pertama, ia memecah tradisi di mana jam kali ini berbentuk lebih lebar dan petak, tidak lagi bujur seperti biasa.

Yang lebih penting, ciri yang lama dinantikan pengguna kini dibawakan versi Pro ini iaitu cip GPS terbina di dalam serta paparan kekal (always-on-display).



Bukan hanya GPS, ia juga menyokong GLONASS, Galileo, Beidou dan QZSS.

Soal paparan, ia menggunakan panel OLED bersaiz 1.64", 326PPI dan dilengkapkan sensor cahaya jadi kecerahan skrin dilaras secara automatik.



Jadi, pengguna tidak perlu lagi membawa telefon ketika melakukan aktiviti sukan seperti berlari dan sebagainya.

Fungsi NFC sama juga disokongnya tanpa ada varian baharu seperti Mi Band 6 dulu.

Untuk bateri pula, ia boleh bertahan sehingga 12 hari dan ketahanan air sedalam 5ATM.




Ciri sukan dan kesihatan lain pula sama seperti mana-mana penjejak kesihatan lain. Ia boleh memantau kualiti tidur, kandungan oksigen dalam darah iaitu SpO2 dan lain-lain.


Tiada pengesahan daripada pihak Xiaomi untuk pasaran antarabangsa namun di China, ia dijual pada harga 379 yuan (~RM249) dengan pilihan warna merah jambu, jingga, biru, hijau, hitam dan putih.