Windows 10 Boleh Nyahpasang Kemaskini Windows Yang Bermasalah Secara Automatik

Sebagai pengendali sistem operasi paling popular didunia, Windows 10, Microsoft sudah tentu mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan menawarkan kemaskini demi kemaskini.

Namun begitu, ada juga kemaskini yang ditawarkan mendatangkan masalah kepada komputer pengguna.

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Windows 10 dikatakan mempunyai ciri untuk menyahpasang kemaskini bermasalah secara automatik.

Menerusi ciri itu, apabila komputer gagal dimulakan selepas dipasang dengan kemaskini, Windows akan mendiagnos dan cuba memperbaiki masalah. Sekiranya ia masih gagal, barulah kemaskini bermasalah itu akan dinyahpasang untuk mengembalikan komputer pada keadaan normal semula. Mesej notifikasi akan diberikan seperti dibawah.



Microsoft menyatakan, Windows 10 akan menghalang kemaskini bermasalah itu dari dipasang secara automatik untuk tempoh 30 hari mendatang. Ini bagi memberi ruang kepada Microsoft untuk menyiasat dan memperbaiki isu yang terjadi, sebelum menawarkannya semula.

Walaubagaimanapun ketika ini, ia hanya ditawarkan pada Windows 10 Insider Preview (18351 atau terbaru) dan belum dilepaskan kepada umum.

Dengan adanya ciri seperti ini, ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan keresahan pengguna yang mengharapkan kemaskini boleh meningkatkan prestasi komputer dan bukan sebaliknya.

Sumber: Microsoft Support via Windows Latest