WHO Bakal Lancarkan Aplikasi Covid-19 Pada Peranti Android Dan iOS

Selain membasuh tangan dan mengekalkan jarak sosial, apa yang kita boleh lakukan pada ketika ini adalah membendung penyebaran berita palsu dan hanya menyampaikan berita berdasarkan fakta.

Kini, WHO bakal melancarkan aplikasi rasmi bagi pengguna Android dan iOS yang bertujuan untuk menyampaikan berita, tip, makluman terkini dan lain-lain berkaitan Covid-19 pandemik.

WHO COVID 19

Aplikasi yang pada masa ini akan dilancarkan di bawah nama "WHO MyHealth" asalnya dicadangkan oleh sekumpulan pakar sukarelawan sebagai "WHO Covid Collective App". Pasukan yang membangunkan aplikasi ini terdiri daripada bekas pekerja Google dan Microsoft serta penasihat dan duta WHO, bersama dengan pakar industri lain.



Berdasarkan laporan dari 9to5Google, aplikasi yang dibangunkan secara sumber terbuka ini akan menawarkan notifikasi spesifik kepada lokasi anda, serta alat yang dapat membantu mendiagnosis sama ada anda mempunyai gejala COVID-19. Selain itu, ia juga mungkin hadir dengan fungsi sejarah lokasi pengguna dalam usaha untuk melakukan "kontak pengesanan" bagi memahami lebih lanjut mengenai penyebaran wabak ini.

Bagaimanapun, dengan mengambil kira privasi pengguna melalui perkongsian sejarah lokasi yang lebih mendalam, ia masih dipertimbangkan sama ada fungsi ini bakal hadir dalam aplikasi tersebut.

Mengikut pelan pembangunan semasa, aplikasi MyHealth WHO mungkin akan dilancarkan pada 30 Mac ini bagi peranti iOS dan Android.

Sumber: 9to5Google