WhatsApp Tambah Ciri Pengesahan Biometrik Untuk Akses Dari Komputer

Semua sedia maklum, aplikasi WhatsApp bukan sahaja digunakan pada telefon pintar, dimana ia boleh juga diakses dari komputer dan laman web.

Terbaru, syarikat pemesejan segera itu tampil mengumumkan penambahan ciri sekuriti baru bagi log masuk dari komputer dan laman web mereka.



Ciri berasaskan pengesahan biometrik ini memerlukan pengguna untuk membuat imbasan wajah atau cap jari terlebih dahulu sebelum boleh mengakses platform tersebut di komputer atau laman web.


Selepas ini, pengguna akan diminta untuk mengesahkan proses log masuk WhatsApp atau di laman web dengan wajah atau cap jari sebelum boleh mengimbas kod QR yang tertera.

Ia akan ditetapkan secara default pada peranti Android dan iOS yang mengaktifkan ciri pengesahan biometrik. Sekiranya pengguna tidak menetapkan ciri biometrik pada WhatsApp, akses log masuk ke komputer atau laman web akan dibuat secara biasa.

Menurut WhatsApp, penambahan ciri ini dapat mengelakkan isu individu lain yang mempunyai telefon pintar anda dari mengakses perbualan di WhatsApp melalui laman web dan komputer mereka. Kemaskini terbaharu ini akan dilepaskan kepada semua peranti secara berperingkat mulai hari ini.