Whatsapp Sedang Menguji Ciri Baru "Status"

Aplikasi pemesejan yang dimiliki Facebook, Whatsapp, dikhabarkan sedang menjalankan ujian terhadap ciri baru yang dikenali sebagai Status.  Ciri baru ini akan membolehkan pengguna berkongsi pengalaman seharian mereka menerusi gambar dan video yang di edit dengan pelbagai elemen termasuk emoji. Bahan kandungan yang dimuat naik menerusi ciri itu akan hilang setelah 24 jam dikongsikan yang mana ia mirip seperti Snapchat Stories.

Ujian ciri ini pertama kali dikesan pada Jumaat yang lalu oleh BGR India dimana mereka menyatakan ciri ini hanya boleh didapati pada versi beta berdaftar bagi pengguna yang menggunakan peranti iOS atau Android yang sudah root.

Pada skrin paparan utama Whatsapp versi Android beta, kelihatan ciri baru 'Status' terletak ditengah-tengah antara 'Chats' dan 'Calls'. Mungkin ada antara anda yang keliru ciri baru ini dengan status mesej yang lama. Status mesej yang lama adalah mesej yang kita akan nampak apabila kita melihat profil seseorang. Biasanya status mesej lama berbunyi seperti, 'Battery about to die', 'At the gym' dan sebagainya. Manakala ciri Status yang baru ini lebih kepada perkongsian secara visual antara anda dan rakan yang lain.

Untuk anda yang tidak tahu tentang Snapchat Stories, pengguna akan merakam video ataupun foto yang akan di edit dengan pelbagai emoji, tulisan berwarna dan banyak lagi dengan kenalan mereka. Begitu juga dengan Status, pengguna boleh menambah emoji, melukis serta meletakkan kapsyen menarik untuk apa jua bahan yang ingin dikongsikan dengan kenalan Whatsapp mereka.

screen-shot-2016-11-05-at-11-13-18-pm

'Status' yang dikeluarkan Kapsyen: Sumber : BGR


Menurut BGR,  Status yang dikongsikan itu akan bertahan selama 24 jam. Pengguna tidak boleh memadamkan status yang dikongsi dan tidak boleh menetapkan masa status samada lama atau sekejap. Selain itu, pengguna boleh memilih kenalan mana yang boleh melihat Status mereka-seperti contoh memilih secara manual ataupun pilih semua dan kemudian mengecualikan beberapa kenalan yang anda tidak mahu.

Snapchat memulakan ciri Stories 3 tahun yang lalu, dan ciri itu mendapat tumpuan ramai dimana hampir 10 bilion video dimuat naik setiap hari. Jelas hal ini menyebabkan mengapa Facebook menjalankan ujian terhadap ciri baru Whatsapp ini.

Pasti anda yang memiliki akaun Instagram sudah biasa melihat Instagram Stories. Facebook nampaknya mahu melancarkan ciri ini kesemua rangkaian media sosial milik mereka. Tambah lagi, bagi aplikasi Facebook Messenger juga dikhabarkan bakal mempunyai ciri stories ini dimana Messenger Day dikatakan sedang giat menjalani ujian.

Buat masa kini, Facebook dilihat lebih mengutamakan kandungan video dengan iklan sebagai satu langkah untuk meningkatkan keuntungan syarikat itu. Jadi, dengan adanya ciri Status untuk Whatsapp yang mempunyai lebih dari 1 bilion pengguna aktif merupakan langkah yang bijak. Terutama sekali selepas Facebook mengumumkan penukaran dasar polisi - membenarkan perniagaan memaparkan iklan kepada pengguna media sosial itu.

Ramai yang tertanya-tanya bagaimana syarikat media sosial terbesar dunia itu mahu meletakkan iklan di dalam aplikasi Whatsapp tanpa mengundang rasa kurang senang dari pengguna.