WhatsApp Perkenal Ciri Mesej Menghilang - Mesej Dipadam Secara Automatik Selepas 7 Hari

WhatsApp kini memperkenalkan ciri baharu iaitu Disappearing Message atau Mesej Menghilang.

Melalui ciri ini, mesej yang dihantar secara individu atau berkumpulan akan dipadam secara automatik selepas 7 hari. Namun, ciri ini perlu dihidupkan terlebih dahulu dan tidak akan menjejaskan mesej yang dihantar atau diterima sebelum ini.



Bagi mesej individu, mana-mana pengguna boleh menghidupkan atau mematikan ciri ini. Sementara itu, hanya pentadbir sahaja yang boleh mengawal ciri ini bagi sembang berkumpulan.

Bagaimanapun, mesej yang dihantar mungkin akan kekal bagi beberapa situasi. Antaranya termasuk mesej yang dipetik (quoted), mesej yang dimajukan kepada ruang sembang yang tidak mengaktifkan ciri ini dan sebagainya.

Secara default, media yang anda terima di WhatsApp akan dimuat turun secara automatik. Jika ciri mesej menghilang dihidupkan, media yang dihantar dalam ruang sembang akan hilang, tetapi akan disimpan pada telefon sekiranya muat turun automatik dihidupkan.

Mesej Menghilang WhatsApp

Untuk menghidupkan ciri ini, buka aplikasi WhatsApp > buka mana-mana ruang sembang individu > Contact Info > Mesej Menghilang/Disappearing Message > Hidup/On.

Ciri mesej menghilang ini juga boleh dimatikan pada bila-bila masa. Anda dinasihatkan hanya menggunakan ciri ini bagi individu yang boleh dipercayai sahaja. Ini kerana, seseorang mungkin memajukan, tangkap layar atau menyimpan kandungan tersebut sebelum ianya dipadam.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ciri baharu mesej menghilang, layari pautan ini.