WhatsApp Lancar Aplikasi Khas Untuk Peniagaan

Bagi peniaga yang menjual barangan secara dalam talian, rata-rata dari mereka gemar berkomunikasi  dengan pelanggan menggunakan khidmat pemesejan segera WhatsApp.

Melihat kepada perkara tersebut, Whatsapp mengambil inisiatif untuk membantu peniaga dan pembeli dengan membangunkan satu aplikasi khas yang bakal memudahkan interaksi antara dua pihak.

Dikenali sebagai WhatsApp Business, ia telah dilancarkan dilima buah negara semalam dan menyasarkan dua kelompok perniagaan, syarikat kecil dan juga syarikat besar seperti perbankan, penerbangan, dan seumpamanya.

Untuk syarikat yang berskala besar mereka mampu memudahkan pengguna dengan memberikan notifikasi seperti contoh, waktu penerbangan, pengesahan penghantaran barangan dan apa-apa maklumat lain tentang servis yang berkaitan.

Selain itu, ia turut menawarkan fungsi pengesahan profil yang lengkap dengan maklumat seperti alamat, emel dan jenis perniagaan supaya anda lebih yakin untuk berhubung dengan peniaga tersebut.

Sekiranya peniaga sedang sibuk, balasan pantas secara automatik akan dihantar kepada pelanggan.

Buat masa sekarang, ia hanya ditawarkan untuk platform Android di Indonesia, Mexico, Itali, UK dan juga Amerika Syarikat. Penawaran untuk negara-negara lain akan dibuat secara berperingkat kelak.

Sumber: WhatsApp