Western Digital Menutup Kilang Petaling Jaya Mereka Bermula Hujung Tahun 2019

Western Digital (WD) akan menutup operasi kilang mereka di Petaling Jaya pada penghujung tahun 2019. WD yang terkenal dengan produk cakera keras telah memulakan operasi di Malaysia pada tahun 1973.

HGST Technologies Malaysia yang dimiliki sepenuhnya oleh WD telah menutup operasi kilang mereka di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada tahun 2016 yang lepas. Mereka menyatakan yang kekurangan permintaan cakera keras global sebagai punca penutupan operasi kilang-kilang mereka di Malaysia.



Buat masa ini, WD masih mempunyai kilang yang beroperasi di Malaysia dan juga Thailand. WD dijangka akan menumpukan perhatian mereka terhadap pasaran SSD. Jurucakap WD memberitahu pihak The Register pada isnin lepas yang kilang pemasangan HDD akan ditutup pada hujung tahun 2019 dan penghasilan cakera pemacu kilat akan dipertingkatkan:
Dalam menghadapi penurunan permintaan untuk HDD, Western Digital telah mengambil langkah rasionalisasi operasi HDD mereka di peringkat global.

Syarikat ini akan mula menutup kilang penghasilan HDD di Petaling Jaya bermula pada akhir tahun 2019. Peralihan ini akan dilakukan dengan teliti bersama pihak yang terlibat seperti pekerja, pelanggan, rakan pembekal dan juga pemegang saham.

 

WD juga sedang dalam persiapan menyiapkan fasiliti SSD kedua mereka di Pulau Pinang dan akan mula beroperasi dalam tempoh beberapa bulan lagi. Western Digital akan terus memberikan komitmen kepada Malaysia yang merangkumi kerjasama  selama 45 tahun dan berharap kerjasama tersebut akan berterusan.

Sumber