Waze Bantu Pengguna Elak Beraya Di Atas Jalan Raya Pada Aidilfitri Nanti

Kepulangan anak-anak yang berada di perantauan sangat dinantikan oleh setiap ibu bapa dan keluarga di kampung halaman. Namun, bagi mereka yang ingin pulang pula, keriangan yang dirasai selalunya akan berkurangan semasa berada berada di atas jalan raya. Mana tidaknya, kadang-kadang tempoh perjalanan boleh menjadi dua kali lebih lama berbanding biasa akibat daripada kesesakan lalu lintas.

Berikutan itu, penyedia servis navigasi GPS terkenal, Waze sekali lagi akan membantu anda untuk merancang perjalanan anda pulang ke kampung supaya tidaklah anda terpaksa berada di atas jalan raya untuk tempoh yang lama nanti.Menurut Waze, pengguna jalan raya akan meningkat sehingga 25% berbanding hari biasa semasa sambutan Aidilfitri semakin hampir tiba. Peningkatan ini dijangka akan bermula sejak dua hari sebelum raya sehinggalah ke hujung minggu yang berikutnya, iaitu semasa orang ramai mula pulang dari kampung halaman.

Menjelang hari raya, Waze memaklumkan pengguna mereka di Kuala Lumpur akan berkurangan sebanyak 5%. Ini kerana pengguna telah beralih keluar dari ibu kota ke negeri asal masing-masing seperti Terengganu, Kedah dan Johor Bharu. Data daripada Waze menunjukkan bahawa pengguna mereka di Terengganu meningkat sehingga 42% pada hari raya, manakala Kuala Muda, Kedah dan Johor Bharu pula akan mengalami peningkatan sebanyak 10%.

Pengguna jalan raya juga akan memandu dengan jarak yang lebih jauh di hari raya berbanding hari-hari biasa, dengan peningkatan jarak pemanduan sebanyak 42% di Terengganu, 32% di Kuala Muda, 30% di Johor Bahru dan 20% di Kuala Lumpur.

Jadi, bagaimana untuk mengelakkan anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya di Aidilfitri tahun ini? Di sini kami akan kongsikan lima tips daripada Waze untuk kemudahan bersama.

1.Rancang waktu perjalanan anda mengikut destinasi tujuan anda

Bagi memudahkan anda untuk merancang perjalanan anda semasa sambutan hari raya Aidilfitri kali ini, Waze sudah mengenalpasti kawasan dan tempoh waktu yang mengalami kepadatan jalan raya yang tinggi. Waze sudah merangka jadual perjalanan bermula 12 Jun hingga 20 Jun untuk kemudahan anda. Menurut data trafik mereka, negeri seperti Johor, Kedah, Kelantan, Kuala Lumpur, Pahang, Sabah, Sarawak dan Terengganu akan mengalami peningkatan kepadatan trafik pada hari raya ini.

Maka, bagi mereka yang merancang untuk beraya di negeri-negeri berkenaan, anda boleh lihat imej yang disediakan oleh Waze di bawah dan rancang perjalanan anda sebaik-baiknya.







2.Berkongsi status pemanduan anda bersama keluarga tersayang

Ketibaan anda adalah sesuatu yang sangat dinantikan bagi keluarga anda. Selain keselamatan anda semasa berada di atas jalan raya, waktu ketibaan adalah perkara yang paling difikirkan oleh mereka. Dengan berkongsi pemanduan anda dengan mereka, kini mereka boleh mengetahui status pemanduan anda tanpa mengganggu anda yang sedang memandu. Jadi, mereka boleh menjejaki di mana anda berada sekaligus mengurangkan kerisauan di hati mereka.

Untuk melakukannya, anda boleh ikuti langkah di bawah :

Sebelum memulakan pemanduan

Tekan Hantar ETA .

  • Untuk menghantar menerusi aplikasi, pilih rakan-rakan yang ingin kongsikan ETA anda dan tekan Hantar.

  • Untuk berkongsi ETA anda sebagai mesej teks, mesej WhatsApp, emel atau pautan, tekan Lagi


Selepas memulakan navigasi

Tekan bar ETA di bahagian bawah skrin anda. Kemudian, tekan Hantar ETA . Untuk menghantar ETA:

  • Untuk menghantar menerusi aplikasi, pilih rakan-rakan yang ingin anda kongsikan ETA anda dan ketik Hantar.

  • Untuk berkongsi ETA anda sebagai mesej teks, emel atau pautan, ketik Lagi.


3.Elakkan Melepak di kawasan yang mempunyai kepadatan trafik yang tinggi

Pihak Waze juga menngenalpasti beberapa destinasi yang menjadi tumpuan pengunjung semasa sambutan hari raya. Antaranya ialah pusat membeli belah, di mana densiti trafiknya meningkat sehingga 20%, diikuti oleh restoran, hotel, stesen minyak dan bank.



Pusat membeli belah dan restoran telah mengalami peningkatan tertinggi kerana ia sudah menjadi tempat pilihan rakyat negara ini untuk melepak bersama keluarga dan rakan-rakan sejak sekian lama. Jadi anda bolehlah merancang untuk mencari kawasan lain untuk bersama orang tersayang pada hari raya ini melalui aplikasi Waze pada tahun ini. Semak dahulu keadaan trafik kawasan yang ingin dituju bagi mengelakkan anda sekadar melepak di dalam kereta nanti.

4.Kongsi lokasi untuk memudahkan pertemuan 

Jika anda merancang untuk mengajak rakan-rakan berjumpa di hari raya kelak, bantu mereka untuk menjimatkan masa dengan berkongsi kedudukan anda kepada mereka melalui aplikasi Waze. Kini, mereka tidak lagi perlu untuk mencari sendiri di mana anda ingin bertemu dan tidak perlu risau tentang kesesatan di jalan raya.

Ikuti langkah mudah di bawah bagi berkongsi lokasi anda dengan rakan-rakan :

  • Tekan Menu




  • Tekan butang Pilihan di sebelah destinasi yang ingin anda hantarkan




  • Tekan Hantar Lokasi




  • Tekan Hantar. (sekiranya anda ingin menghantar melalui aplikasi lain, tekan Lagi)




5. Pastikan anda tidak memandu dengan laju dan berbahaya

Sekiranya jalan yang anda lalui untuk pulang ke kampung tidak mengalami kesesakan lalu lintas, pastikan anda tidak memecut laju hingga membahayakan nyawa anda dan orang lain. Pastikan anda sentiasa mematuhi had laju dengan mengaktifkan fungsi pemberitahuan had laju pada aplikasi Waze anda.

Untuk aktifkan fungsi berkenaan, anda boleh ikuti langkah berikut :

  • Tekan Menu, kemudian Tetapan

  • Tekan Meter Kelajuan

  • Pilih mana mana tetapan yang mahu diaktifkan di antara Papar Meter Kelajuan, Papar Had Laju, Mainkan Bunyi Amaran dan tetapan Bila Untuk Paparan Amaran. Namun adalah lebih baik untuk anda aktifkan kesemua tetapan berikut.


Ingat! Sentiasa utamakan keselamatan ketika memandu tak kira ke mana sahaja tempat tujuan anda.

Muat turun aplikasi Waze sekarang dan cuba tips di atas sendiri bagi menikmati perjalanan pulang beraya dengan sempurna dan selamat. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman sesawang Waze.

Sumber